Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanPulau Pinang

25,000 Rakyat Pulau Pinang Gegarkan Stadium Batu Kawan Sempena Hari Kebangsaan ke-68

By 31 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Amalina Shazwani Md Suhaimi/Shamsul Bahari Abdul Shukor

BATU KAWAN, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Stadium Batu Kawan dibanjiri lebih 25,000 pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat negeri Pulau Pinang, hari ini.

Seramai 8,686 peserta daripada 124 kontinjen pejalan kaki, 120 kontinjen kenderaan dan 14 kumpulan pancaragam mengambil bahagian dalam perarakan gilang-gemilang yang menyemarakkan semangat patriotisme rakyat.

Pemeriksaan Kawalan Kehormat Utama oleh Tun Ramli Ngah Talib.

Setiap kontinjen tampil dengan kreativiti tersendiri melalui langkah perbarisan penuh disiplin, alunan muzik pancaragam, pakaian beragam serta persembahan berunsur tradisi dan kebudayaan yang memukau hadirin.

Penyertaan melibatkan pelbagai kategori termasuk pancaragam sekolah rendah dan menengah, badan beruniform institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, sektor swasta serta agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Kehadiran Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato’ Seri Utama Ramli Ngah Talib,  bersama Toh Puan Raja Dato’ Seri Utama Noora Ashikin Raja Abdullah, diiringi Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta barisan pimpinan kerajaan negeri turut menyerikan sambutan bersejarah itu.

Persembahan tarian memukau yang menggabungkan pelbagai elemen budaya utama di Malaysia menzahirkan keunikan dan keharmonian rakyat berbilang kaum.

Seorang pengunjung, Anur Hakim Abdullah, 45, berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang menghadiri sambutan Hari Kebangsaan bersama keluarga.

“Saya mahu anak-anak merasai detik penuh kebanggaan ini agar mereka memahami bahawa cinta kepada tanah air adalah warisan yang mesti terus dipertahankan,” katanya.

Kemeriahan sambutan di Stadium Batu Kawan sekali gus mencerminkan semangat patriotisme rakyat Malaysia, khususnya warga Pulau Pinang, yang terus mekar dan tidak pernah luntur demi negara tercinta.

-RI

Tinggalkan komen anda