
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/GABPOBA
LABUAN, 1 Sep (MalaysiaAktif) – Program Hike 4 Merdeka anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan dengan kerjasama Majlis Belia Labuan (MBL) serta Persatuan Gabungan Belia dan Beliawanis Kampung Pohon Batu (GABPOBA) menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2025 melalui aktiviti riadah yang sihat.

Para peserta dapat menyambut Hari Kemerdekaan secara lebih aktif dan kreatif.
Menurut kenyataan GABPOBA, program berkenaan bertujuan menggalakkan masyarakat meraikan Hari Kebangsaan dengan pelbagai pendekatan selain menyemai sifat patriotisme dalam kalangan komuniti setempat.
“Selain menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif melalui aktiviti riadah seperti mendaki bukit, program ini menyediakan platform untuk komuniti menyambut Hari Kemerdekaan secara lebih aktif, kreatif dan bermakna.
“Program ini turut meningkatkan apresiasi terhadap keindahan dan warisan semula jadi negara sebagai salah satu aset kebangsaan yang perlu dipelihara selain mempromosikan lokasi mendaki sebagai destinasi rekreasi yang menarik,” jelas kenyataan itu semalam.

68 Jalur Gemilang dibawa dalam program itu sebagai simbolik kemerdekaan negara yang ke-68.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk Senamrobik Zumba dan pengibaran 68 Jalur Gemilang di puncak MTB Park Trail.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib; Pengarah MKN Labuan, Mohd Hafiez Mohd Daud; Presiden MBL, Nazeera Roslan; Pengerusi GABPOBA, Mohd Hazwan Tamin; serta Ketua Kampung Pohon Batu, Haryadi Omar.
-RI





