
Laporan/foto: Noor Shameiza Abd Razak (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI, 1 Sep (MalaysiaAktif) – Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, suasana penuh semangat patriotik kembali mewarnai masyarakat apabila pelbagai program menarik diadakan di pusat beli-belah Village Mall, di sini semalam.
Program anjuran Komuniti MADANI Bandar Laguna Merbok bersama Pejabat Penerangan Daerah Kuala Muda itu menyemarakkan rasa cinta kepada negara dan menjadi platform memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat.

Edaran Jalur Gemilang kepada premis-premis perniagaan.
Antara pengisian utama adalah Pertandingan Lagu Patriotik yang dibahagikan kepada kategori kanak-kanak dan dewasa.
Pertandingan tersebut berjaya menarik ramai peserta yang tampil penuh bersemangat menyanyikan lagu-lagu kebangsaan dengan penuh penghayatan, sekali gus membangkitkan rasa bangga terhadap tanah air.
Seorang peserta, Amzar Nurwafdan Mohd Rizal, 10, yang menyertai Pertandingan Lagu Patriotik, meluahkan rasa keterujaannya.
“Saya sangat gembira dapat menyanyi lagu patriotik di depan ramai orang. Walaupun gugup, saya bangga sebab dapat sampaikan semangat cintakan Malaysia. Saya harap tahun depan boleh sertai lagi,” katanya.
Turut menyerikan suasana ialah Pertandingan Cilik Busana Merdeka, yang menampilkan kanak-kanak dengan pakaian kreatif berinspirasikan Jalur Gemilang dan budaya pelbagai kaum di Malaysia.
Gelagat comel para peserta bukan sahaja mencuit hati, malah memberi mesej jelas bahawa semangat patriotik wajar dipupuk sejak usia muda.

Si cilik riang mewarna, semarakkan HKHM 2025 dengan penuh ceria.
Selain itu, Pertandingan Mewarna Merdeka turut mendapat sambutan hangat daripada anak-anak kecil yang bukan sahaja mengasah kreativiti, malah memberi peluang kepada generasi muda memahami erti kemerdekaan melalui warna-warni karya mereka.
Lebih menarik, program ini turut diserikan dengan edaran Jalur Gemilang di dalam pusat beli-belah. Inisiatif ini berjaya meniupkan semangat cintakan negara, apabila pengunjung dilihat mengibarkan bendera dengan penuh bangga.
Dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, jelaslah bahawa tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ terus subur dan menjadi pegangan dalam membina negara bangsa yang lebih gemilang.
-RI





