
Laporan/ foto : Sumardi Sugiman/ Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 3 Sep (MalaysiaAktif) – SMK Paku kini bersedia untuk menerima Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 yang akan melakukan persinggahan di sekolah tersebut pada 9 September akan datang.
Menurut Pengetua SMK Paku Anek Apok, 57, persiapan rapi telah diatur dengan membentuk jawatankuasa kerja dan dijangka seramai 250 pelajar kini dalam fasa bersiap sedia menyambut kedatangan konvoi itu dengan kibaran Jalur Gemilang.

Anek mempengerusikan mesyuarat berkaitan persinggahan Konvoi KMJG ke SMK Paku.
“Lokasi utama program bersama konvoi KMJG itu nanti adalah di Dewan Seri Bestari di sini dan antara pengisian menarik yang bakal menjadi tumpuan peserta program membabitkan kuiz kenegaraan selain pertandingan menceriakan kelas dengan semangat Jalur Gemilang,” katanya dalam sesi perbincangan pihak sekolah bersama Pegawai Penerangan Daerah Bau Sumardi Sugiman, di sini, semalam.
Anek juga memandang positif matlamat dan objektif program bertemakan Jalur Gemilang tersebut yang secara langsung membawa pelbagai mesej atau nilai patriotisme kepada pelajar di SMK Paku.
“Kami gembira diberikan peluang untuk dijadikan antara destinasi KMJG tetapi yang kami amat yakini adalah program sebegini penting malah berupaya meningkatkan semangat patriotisme dan cinta negara dalam kalangan pelajar termasuklah menghargai perpaduan serta keamanan negara sekarang.
“Kami juga mengalu-alukan kerjasama membabitkan Pejabat Penerangan Daerah Bau untuk melaksanakan program di sini yang menekankan kepada penghayatan Rukun Negara, menghormati lagu Negaraku dan Jalur Gemilang,” tambahnya lagi.
-RJ-





