
??Laporan/foto: Andi Abdul Rohim/Siti Nor Farhana (Manjung)
LUMUT, 3 Sep (MalaysiaAktif) – Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi JIWA@Komuniti MADANI Kampung Batu 4 Segari yang berlangsung dua hari bermula 31 Ogos lalu berjaya mengukuhkan hubungan penduduk setempat di samping dapat menerapkan semangat cintakan negara.
Antara yang menarik adalah Pertandingan Futsal Bawah 12 Tahun melibatkan lima pasukan antara aktiviti menarik penduduk setempat.

Azri berucap sebagai Pengerusi Penganjur Program JIWA@Komuniti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 Kampung Batu 4 Segari.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 3 Segari Shaharani Mohamed, program itu wajar dijadikan acara tahunan kerana berupaya mengabungkan penglibatan semua golongan iaitu daripada kanak-kanak hingga warga emas.
“Sambutan penduduk yang begitu meriah menunjukkan betapa kuatnya semangat kebersamaan yang terjalin,” katanya kepada MalaysiaAktif, di sini kelmarin.
Penduduk Azman Poying, 50, berkata penganjuran aktiviti sukan itu secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung, di samping menyemai semangat kemerdekaan dalam kalangan generasi muda.
“Acara yang dipertandingkan juga berjaya menarik minat semua lapisan umur,” katanya.

Pasukan Kampung Batu 3 Segari menjuarai Pertandingan Futsal Bawah 12 tahun.
Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Kampung Batu 4 Segari Datuk Azri Jaafar, merakamkan penghargaan kepada semua jawatankuasa dan penduduk yang turut berganding bahu menjayakan program ini.
Menurutnya, inisiatif ‘Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang’ oleh Jabatan Penerangan (JAPEN) menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di kampung tersebut apabila penduduk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.
“Program sebegini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak, malah memberi ruang untuk meluangkan masa berkualiti bersama melalui aktiviti berfaedah malah mampu memupuk rasa cinta kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kebanggaan,” katanya.
-RI





