Skip to main content
Berita TempatanSabah

SARA RM100 Ringankan Beban, Rakyat Harap Diteruskan

By 5 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Penampang)

PENAMPANG, 5 Sep (MalaysiaAktif) – Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang dikreditkan terus ke MyKad mulai 31 Ogos lalu memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah untuk membeli barangan keperluan harian.

Juliana ditemui selepas membeli barangan keperluan asas menggunakan bantuan SARA RM100 yang dikreditkan ke MyKad..

Penerima bantuan, Juliana Malis, 64, berkata, bantuan yang diterima sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan keluarganya terutama untuk membeli keperluan asas.

“Saya bersyukur kerana bantuan ini dapat mengurangkan perbelanjaan bulanan, walaupun hanya RM100, ia tetap bermakna bagi kami. Saya dapat menggunakan bantuan itu untuk membeli barangan asas seperti beras, telur, minyak masak, mi segera dan sabun.

“Harapan saya agar bantuan ini dapat diteruskan dan kalau boleh ditambah lagi jumlahnya pada masa akan datang, terima kasoh kepada kerajaan kerana prihatin memberi bantuan ini kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas membeli-belah di sini, pada Khamis.

Nana Chin bersama anaknya di hadapan sebuah pasaraya di sini pada Khamis..

Seorang lagi penerima, Nana Chin, 36, berkata, bantuan kewangan yang disediakan kerajaan ini wajar untuk diteruskan di samping sistem pengagihan yang benar-benar sampai kepada golongan sasar.

“Bantuan SARA ini sangat baik, boleh tolong keluarga yang susah, boleh beli beras, telur dan barang keperluan harian, RM100 ini pun cukup untuk beli barang asas.

“Kalau boleh, bantuan seperti ini diteruskan setiap bulan, di samping usaha pihak kerajaan meningkatkan kemudahan lain seperti elektrik, naik taraf jalan raya, Ini adalah lebih baik,” tambahnya.

Muhammad Hijrah menyampaikan penghargaan kepada kerajaan atas bantuan disediakan yang bermakna kepada golongan memerlukan.

Sementara itu, Muhammad Hijrah Shah Abdul Halim Shah, 31, dari Papar berkata bantuan SARA ini bukti kebajikan yang inklusif daripada kerajaan buat rakyat pelbagai latar belakang.

“Bantuan SARA dapat bantu masyarakat yang kurang berkemampuan, pastinya bantuan ini dapat tambah belanja untuk beli keperluan dapur, lampin bayi, susu dan barang harian lain.

“Harapan saya supaya bantuan ini diteruskan kerana sangat membantu terutama warga tua dan keluarga yang memerlukan. Terima kasih kepada kerajaan kerana membantu rakyat sekurang-kurangnya ada makanan di atas meja,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda