
Laporan/foto: Mohd Zahairi Ahmad Zabidi/Burhanuddin Jamil
MERSING, 5 Sep (MalaysiaAktif) – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor terus komited menyebarkan kesedaran akan bahaya dadah melalui Program Kayuhan Berinformasi AADK ‘Merdeka Dirai, Dadah Dijauhi 2025’ yang berlangsung di sekitar Daerah Mersing pagi tadi.
Menurut Pengarah AADK Negeri Johor Mohd Faisal Maksom, program kayuhan ini berjaya menarik lebih 200 peserta berbasikal merentasi beberapa lokasi ikonik di Daerah Mersing dengan laluan sejauh 11 kilometer bermula di Mersing Harbour Centre.

Penyampaian Penghargaan Komuniti Penghijauan Focal Area Kawasan Berisiko Rendah (KBR) Mukim Mersing kepada Daing Ibrahim Yacob, Ketua Kampung Bahagia dan Kampung Sri Lumpur oleh YB Ling Tian Soon.
“Sebagai sebahagian daripada program, para peserta turut menziarahi keluarga klien yang sedang menjalani Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).
“Dalam kunjungan tersebut, sumbangan keperluan harian telah disampaikan sebagai tanda sokongan moral kepada keluarga yang terlibat,” katanya.
Program ini bukan sahaja memperkukuh mesej antidadah malah memupuk semangat kemasyarakatan dan kesedaran sivik dalam usaha melahirkan masyarakat yang bebas dadah.
Turut sama dalam program kayuhan ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Ling Tian Soon dan Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah.

Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan kepada Keluarga Klien AADK Mersing yang ditimpa musibah.
Ling Tian Soon dalam ucapan perasmian, berkata komuniti yang sihat dari aktiviti dadah mampu menyumbang kepada prestasi dan peningkatan produktiviti negara.
“Penganjuran program pada hari ini bukan setakat menyebarluaskan informasi berkaitan pencegahan dadah akan tetapi komitmen padu sangat dituntut dalam kalangan masyarakat bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme, perpaduan serta perasaan cinta kepada Malaysia.
Selain kayuhan, program ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan, pameran daripada jabatan dan agensi serta pertandingan mewarna.
-RI





