Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Bantuan SARA RM100 Bukti Keprihatinan Kerajaan Terhadap Kesejahteraan Rakyat

By 5 September 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Mohamad Farid Izwan/Wirwan Nor Rama (Sarawak)

KUCHING, 5 Sep (MalaysiaAktif) – Kerajaan terus memperlihatkan komitmen membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup menerusi pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara one-off yang mula diagihkan kepada rakyat Malaysia pada 31 Ogos 2025 lalu.

Bantuan yang dikreditkan terus ke dalam MyKad membolehkan rakyat berbelanja di kedai atau pasar raya yang mengambil bahagian dengan lebih mudah dan teratur.

Mekanisme ini bukan sahaja menjamin ketelusan penyaluran, malah memastikan setiap sen bantuan benar-benar dimanfaatkan untuk pembelian barangan keperluan asas.

Dina, petugas kebersihan ditemu bual di Karnival Jelajah KPDN Zon Sarawak bertempat di Tebingan Kuching.

Seorang penerima, yang hanya mahu dikenali sebagai Dina, 46, mengakui bantuan tersebut amat berharga kerana sedikit sebanyak dapat menampung kos perbelanjaan barangan dapur keluarganya.

“Walaupun jumlahnya tidak besar, ia sangat bermakna untuk saya sekeluarga kerana dengan RM100 ini, saya dapat membeli barangan asas seperti beras, minyak masak, telur dan sedikit lauk-pauk untuk anak-anak malah sekurang-kurangnya minggu ini saya tidak perlu terlalu risau memikirkan belanja dapur.

“Bantuan ini juga membuktikan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dengan nasib rakyat biasa seperti kami dan walaupun mungkin nampak kecil bagi sesetengah orang, tetapi bagi keluarga sederhana seperti kami, nilainya sangat besar,” katanya.

Senyuman penuh kesyukuran Marinzulawati kerana bantuan yang diterima daripada kerajaan.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Sharifah Suzie, 37, turut menyatakan rasa bersyukur dan berterima kasih atas pelaksanaan bantuan tersebut yang disifatkannya sebagai bukti kerajaan dekat dengan rakyat.

“Bantuan ini diberikan secara adil kepada semua tanpa mengira siapa kita dan secara tidak langsung, ini menunjukkan kerajaan mendahulukan rakyat dan sentiasa ada bersama kami dalam situasi mencabar seperti sekarang,” ujarnya.

Bagi Marinzulawati Julai, 46, beliau nyata teruja kerana bantuan SARA RM100 turut diterima oleh semua ahli keluarganya.

“Saya amat teruja bantuan SARA RM100 ini turut dinikmati oleh semua ahli keluarga saya, yang mana kami sekeluarga ada lima orang, jadi jumlah keseluruhannya mencecah RM500, nilai yang cukup besar untuk membeli barangan asas seperti beras, minyak masak, gula, susu, tepung dan lauk-pauk bagi kegunaan berbulan-bulan.

“Bantuan ini benar-benar meringankan beban dapur dan saya berterima kasih kepada kerajaan kerana inisiatif ini membuktikan kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan rakyat,” katanya dengan penuh rasa kesyukuran.

Pelaksanaan SARA RM100 jelas menunjukkan keazaman kerajaan untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir dalam arus pembangunan negara dan melambangkan usaha berterusan kerajaan memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui pendekatan Rahmah yang inklusif, adil dan menyeluruh.

-RJ-

Tinggalkan komen anda