Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Umat Islam Perlu Jadi Pencetus Perubahan Dan Tangani Isu Buli – Hasbi

By 5 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Juliani Bolhi (Sarawak)

LIMBANG, 5 Sep (MalaysiaAktif) – Lebih 5,000 umat Islam hadir memeriahkan Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M Peringkat Daerah Limbang bertemakan “Ummah Maju Makmur” yang disempurnakan Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, di sini hari ini.

Hasbi merasmikan Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M Peringkat Daerah Limbang.

Dalam ucapannya, Hasbi menyeru umat Islam khususnya di Sarawak supaya tidak sekadar menjadi pengikut, sebaliknya tampil sebagai pencetus pemikiran strategik dan penggerak perubahan dalam masyarakat.

“Janganlah kita hanya menjadi pengikut, jadilah pencetus pemikiran, pemikir strategik dan penggerak perubahan tambahan generasi muda perlu dibimbing untuk menjadi pemimpin yang berani berfikir dan berani membuat perubahan demi masa depan ummah,” katanya.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap isu buli di sekolah yang semakin serius sehingga ada yang membawa kepada kematian kerana kes sedemikian bukan sahaja menjejaskan imej sekolah malah mencemar nama baik masyarakat Islam apabila ia dikaitkan dengan pelajar Melayu Islam.

Hasbi (empat kiri) dan Abdul Rahman (lima kiri) bersama yang lain bersedia untuk memulakan perarakan sempena Maulidur Rasul Peringkat Daerah Limbang 2025.

Sehubungan itu, Hasbi menyeru agar ibu bapa, guru, pihak sekolah dan seluruh masyarakat bekerjasama memainkan peranan dalam membendung gejala tidak sihat melalui pendidikan dan bimbingan yang berterusan kepada anak-anak sejak kecil agar mereka membesar dengan nilai akhlak yang mulia.

Peringatan juga diberikan berkaitan pengaruh media sosial yang tidak terkawal sehingga menjadi punca kerosakan akhlak dalam kalangan anak muda, menuntut semua pihak berganding bahu mendidik generasi muda agar membesar dengan nilai akhlak mulia dan menjadi pewaris kepimpinan negara pada masa depan.

“Anak-anak kita adalah amanah yang jangan dibiarkan mereka hanyut dalam budaya yang merosakkan dan ibu bapa perlu memantau, guru perlu mendidik dengan penuh kasih sayang manakala masyarakat perlu peka terhadap masalah ini,” tegas beliau.

Johan Kategori Tadika dan Prasekolah dimenangi SK Limpaki Limbang.

Majlis turut dimeriahkan dengan perhimpunan dan perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul melibatkan 78 pasukan dari pelbagai kategori termasuk sekolah, masjid, jabatan kerajaan, persatuan dan tadika.

Turut hadir, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Pemangku Pegawai Daerah Limbang Mariati Samat, Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosely dan Pemanca Tuan Haji Sahat Bagol.

-RJ-

Tinggalkan komen anda