Skip to main content
Rencana & Pendapat

Hari Kebangsaan 2025: Gilang-Gemilang Sambutan, Tapi Sampah Jadi Tanda Tanya Kemerdekaan

By 8 September 2025Tiada komen7 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi/JAPEN, SWCorp

PUTRAJAYA, 8 Sep (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 Malaysia telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang dan jayanya di sini, 31 Ogos lepas.

Namun, di sebalik perayaan yang menghimpunkan ribuan pengunjung dalam semangat patriotisme itu, timbul suatu persoalan dalam perkara paling asas dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu soal kebersihan.

Pekerja pembersihan mengutip sampah yang ditinggalkan pengunjung yang hadir pada sambutan Hari Kebangsaan 2025, di Putrajaya.

Pemandangan di beberapa lokasi di Persiaran Perdana usai menjadi medan perhimpunan rakyat yang sebelumnya berkobar-kobar menyaksikan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara itu sedikit tercemar dengan sampah-sampah kecil yang ditinggalkan.

Malah, visual pekerja pembersihan yang giat menjalankan amanah di bawah terik mentari juga sedikit menggusarkan.

Wujud persoalan, apa makna di sebalik kemerdekaan ini, jika sekecil-kecil sampah yang sebelum itu mungkin menjadi bungkusan gula-gula atau makanan pengunjung yang hadir di saat menikmati perbarisan terbesar dalam sejarah sambutan Hari Kebangsaan, ditinggalkan ‘pemiliknya’ seolah-olah tiada apa yang perlu diambil berat.

Apa maknanya kemerdekaan ke-68 negara, jika tanggungjawab semudah membuang sampah sendiri di tong-tong sampah yang nyata telah disediakan juga gagal dilaksanakan sebahagian pengunjung ini?

KEMERDEKAAN MINDA, PEMIKIRAN TERHAD

Bercakap kepada MalaysiaAktif, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed berkata kemerdekaan bukan hanya soal bebas daripada penjajahan, kerancakan ekonomi mahupun pembangunan negara semata-mata, sebaliknya ia turut berkisar mengenai kemerdekaan minda.

Hal itu tegasnya adalah makna sebenar sebuah kemerdekaan.

Pandangan menyerahkan kerja pembersihan kepada petugas petunjuk pemikiran terhad pengunjung.

“Dalam menyambut kemerdekaan, sudah tentu kita perlu merdeka secara total. Mungkin perkara ini (kebersihan) kecil, tetapi (ia) adalah kemerdekaan dari segi minda.

“Kemerdekaan dari segi membawa diri masing-masing ke arah kebersihan. Itu adalah yang paling penting sekali,” katanya.

Khalid menggambarkan senario itu kesan pemikiran terhad atau fixed mindset terhadap soal menjaga kebersihan dalam kalangan masyarakat hari ini yang menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab tersebut kepada pekerja pembersihan.

Baginya, konsep pemikiran terhad ternyata hanya akan merugikan semangat sebenar yang ingin dizahirkan melalui perayaan kemerdekaan negara.

“Kalau seseorang mempunyai growth mindset (pemikiran berkembang), sudah tentu dia akan sama-sama membantu sebenarnya.

“Walaupun ada agensi-agensi khusus dalam menjaga kebersihan, tetapi kami (SWCorp) amat memerlukan rakyat untuk sama-sama berganding bahu…bagai berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” katanya.

SIKAP DAN SURI TELADAN

Situasi itu, menurut Khalid sedikit menghampakan kerana pihaknya selaku Ahli Jawatankuasa Kebersihan telah membuat hebahan dan publisiti baik dari sebelum, semasa dan selepas sambutan berlangsung.

Bahkan, pengacara majlis juga didengar melakukan peringatan mesra, mengingatkan pengunjung mengenai ‘Kempen Bawa Balik Sampah Sendiri’ oleh Perbadanan Putrajaya yang juga ahli dalam jawatankuasa sama.

“Putrajaya telah dinobatkan sebagai ‘ASEAN Clean Tourist City’ bagi tahun 2022 hingga 2024. Bagi memastikan kebersihan kawasan dan kelestarian alam sekitar, Perbadanan Putrajaya menganjurkan ‘Kempen Bawa Balik Sampah Sendiri’ selepas acara.

Justeru, sama-sama kita memainkan peranan sebagai warga yang bertanggungjawab untuk memelihara dan memulihara alam kurniaan Tuhan. Mulakan langkah pertama hari ini dengan menjaga alam sekitar agar menjadi pemangkin ke arah pemuliharaan alam yang lebih berkesan.”

Itu adalah bait-bait peringatan pengacara majlis yang bergema dan sudah tentu boleh didengari di seluruh lokasi sambutan.

Namun, ternyata masih terdapat segelintir pengunjung yang tetap mengabaikan peringatan tersebut apabila sampah sarap ditemui ditinggalkan begitu sahaja, seolah-olah usaha hebahan, promosi dan peringatan mesra oleh pengacara majlis tidak diendahkan sepenuhnya.

“Saya percaya ini berkaitan dengan sikap…di mana keadaan itu sedikit sebanyak memberi gambaran kehidupan masing-masing,” kata Khalid.

Elemen kebersihan telah diterapkan dalam diri insan sedari usia muda dan ibu bapa berperanan penting menjadi suri teladan untuk tujuan pemantapan.

Sedangkan menurutnya elemen kebersihan telah diterapkan sedari awal iaitu dari peringkat kanak-kanak melalui pendidikan bermula di prasekolah, sekolah rendah mahupun menengah.

“Walau bagaimanapun, sudah tentu dalam sambutan sebegini, mereka (anak muda) datang dengan keluarga…dan sebagai ketua keluarga sepatutnya mereka boleh bantu didik keluarga masing-masing supaya jangan buang sampah merata-rata,” katanya.

Beliau menegaskan, perbuatan membuang sampah merata-rata mencerminkan tahap kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab asas sebagai warganegara.

Maka, kemerdekaan yang diraikan saban tahun tidak seharusnya hanya diukur melalui gahnya perbarisan atau persembahan, sebaliknya turut terzahir melalui sikap dan amalan harian rakyat dalam menjaga kebersihan serta kelestarian alam sekitar.

Dalam konteks itu, konsep kemerdekaan minda yang bebas daripada pemikiran sempit, leka dan sambil lewa wajar dijadikan teras dalam membentuk masyarakat berdisiplin, bertanggungjawab serta mampu menjadi suri teladan kepada generasi akan datang.

“Bagaimanapun, secara keseluruhannya, tahap kesedaran pengunjung boleh dikatakan baik, meskipun masih wujud segelintir kecil yang gagal memahami kepentingan isu kebersihan ini.

“Justeru, saya amat menyeru kepada masyarakat, khususnya dalam majlis atau perhimpunan besar seperti ini, agar memberi komitmen yang lebih tinggi. Tidak menjadi kesalahan kalau bawa beg kitar semula sendiri dan bersama-sama bantu kerajaan mengindahkan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara,” katanya.

KOMITMEN SWCORP

Dalam pada itu, Khalid turut menegaskan bahawa pihaknya sentiasa berusaha gigih memastikan aspek kebersihan menjadi agenda terpenting terutamanya apabila melibatkan acara besar seperti sambutan Hari Kebangsaan.

“Kami percaya dengan usaha yang gigih sama ada di peringkat kerajaan, NGO (badan bukan kerajaan) ataupun individu-individu tertentu, isu kebersihan ini dapat kita tangani dari semasa ke semasa.

“Kami di SWCorp, di KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) amat menyeru kepada masyarakat keseluruhannya supaya sama-sama kita berganding bahu dalam menjaga kebersihan ini kerana ia adalah hak kita secara bersama,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed turut serta mengutip sisa sampah yang ditinggalkan pengunjung usai sambutan Hari Kebangsaan 2025, 31 Ogos lepas.

Dalam pada itu, menurut Khalid antara pendekatan terbaik yang digerakkan SWCorp ialah melalui penglibatan sukarelawan hero-hero kebersihan, selain usaha berterusan pihaknya menyantuni masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan di mana sahaja mereka berada.

“Memang pada hari ini pun kalau kita lihat, ada beberapa NGO seperti GEMA (Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia) dan sebagainya yang turut bersama, selain hero-hero kebersihan sukarelawan daripada kawasan sekitar yang turun membantu.

“Dan insya-Allah, usaha ini akan kita teruskan, bukan sahaja pada hari ini, tetapi juga pada acara-acara besar akan datang supaya kita sama-sama dapat berganding bahu,” katanya.

Bahkan Khalid berkata usai sambutan juga, jentera SWCorp bersama rakan strategik iaitu Alam Flora Sdn Bhd akan terus menggiatkan usaha pembersihan terutama apabila pengunjung mula melakukan perjalanan pulang masing-masing.

Sekitar 100 anggota Alam Flora katanya digerakkan di lapangan dengan pelbagai kerja pembersihan termasuk kerja penyudah pembersihan (flushing) dan memastikan keseluruhan kawasan kembali seperti sediakala.

“Komitmen kami jelas iaitu untuk kembalikan suasana, keadaan dan kebersihan Putrajaya seperti sebelum sambutan ini berlangsung,” tegasnya.

Bagaimanapun, apa yang pasti, tugas menjaga kebersihan tidak mungkin selesai dengan usaha agensi sahaja dan komitmen SWCorp itu seharusnya menjadi dorongan buat kita semua kerana tentunya tuntutan utama dalam isu kebersihan ini adalah kesepakatan untuk berganding bahu dalam menjalankan peranan masing-masing.

Apabila setiap individu mengambil tanggungjawab kecil ini, maka sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar simbolik semangat patriotik, tetapi bukti nyata bahawa kita benar-benar merdeka iaitu merdeka daripada sikap leka, sambil lewa, dan mementingkan diri sendiri.

-FN

Tinggalkan komen anda