
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
TEMERLOH, 9 Sep (MalaysiaAktif) – Ahli Komuniti MADANI di negeri Pahang menyambut baik penganjuran Karnival Kita MADANI, kelmarin yang membawa pelbagai manfaat kepada penduduk setempat.

Dari kiri Norliza Jazmin, Siti Baizura Ibrahim (tengah) dan Mazni Ali dari Komuniti Jengka 1, Maran.
Siti Baizura Ibrahim, 42, dari Komuniti MADANI Jengka 1, berkata program itu dapat merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dengan penduduk setempat.
“Selain itu, pengisian ceramah seperti Kempen Internet Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga bagus di samping saya juga suka melihat pertandingan Busana Kebangsaan yang menampilkan kreativiti peserta kanak-kanak dan juga dapat lihat semangat perpaduan yang ada dalam diri kita,” katanya.
Masitah Zainal Abdin, 41, dari Taman Perda Jaya, Jerantut berkata karnival itu bukan sahaja menjadi medan hiburan tetapi juga wadah menyemai kefahaman masyarakat tentang konsep Malaysia MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan, keterangkuman dan perpaduan.
“Penganjuran karnival ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat terus diberi ruang untuk bersama-sama menghayati nilai MADANI dalam suasana harmoni dan penuh kekeluargaan,” katanya.

Mohd Azman ditemui setelah selesai program tersebut.
Bagi Pegawai Khidmat Pelanggan di Hong Leong Bank Berhad Mohd Azman Mohd Ali, 40, jemputan penganjur kepada pihaknya secara tidak langsung dapat memudahkan urusan penduduk setempat untuk membuka akaun simpanan atau kad kredit yang dapat diaktifkan terus pada waktu sama.
“Ini menjimatkan kos dan masa untuk pelanggan datang berurusan di bank tersebut,” katanya.
Acara yang dianjurkan bagi memperkukuh semangat perpaduan dan nilai Malaysia MADANI itu menawarkan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran agensi kerajaan, swasta, gerai jualan produk tempatan, Jualan Rahmah MADANI, pertandingan mewarna kanak-kanak, fun walk, sukaneka, pertandingan Busana Kebangsaan, Kuiz Kenegaraan dan banyak lagi.
Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Negeri Pahang Mohd Fadzil Mohd Ramly.
-RI





