
Laporan/foto: Azimee/Muhamad Firdaus
BATU MAUNG, 9 Sep (MalaysiaAktif) – Lebih 200 penduduk sekitar Permatang Damar Laut menyertai perarakan Maulidur Rasul sejauh dua kilometer yang bermula dari Masjid Al Qahhar, di sini kelmarin.

Perarakan disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Perarakan yang diiringi unit bergerak Jabatan Penerangan Malaysia itu disertai pelbagai lapisan masyarakat sambil mengalunkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Bendahari Masjid Al Qahhar Azmi Aziz, berkata program itu bukan sahaja memperingati kelahiran Rasulullah SAW, malah menjadi landasan untuk memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.
“Selain mengenang perjuangan Baginda, program ini membuka ruang untuk kita menimba ilmu agama serta mengeratkan silaturahim sesama masyarakat,” katanya.

Perarakan Maulidur Rasul turut diiringi unit bergerak Jabatan Penerangan.
Peserta, Rokiah Md Rejab, 53, pula berharap program sedemikian akan terus diadakan setiap tahun kerana menjadi wadah masyarakat berkumpul dan menghayati perjuangan Rasulullah SAW.
Majlis diakhiri dengan jamuan tengah hari hasil gotong-royong komuniti setempat.
-RI





