
Laporan/foto: Abd Muiz/ Mohamad Norfahzli (Cameron Highlands)
CAMERON HIGHLANDS, 12 Sep (MalaysiaAktif) – Projek Sustainable Modern Agriculture Cameron Highlands (SMACH) Agropark Fasa 1 yang disempurnakan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terus mengorak langkah dalam memperkasa pertanian moden berteraskan teknologi hijau dan amalan lestari.

Baginda berkenan melawat tempat penanaman pokok.
SMACH AgroPark yang menggunakan teknologi rumah hijau ini merupakan inisiatif Baginda Tuanku bagi memastikan kelestarian alam sekitar di samping memupuk kesedaran rakyat untuk terus menghargai khazanah semula jadi Cameron Highlands.
Baginda dalam titahnya menekankan bahawa projek ini menggunakan teknologi pintar yang moden seperti sensor, automasi dan Internet of Things (IoT) bagi meningkatkan hasil serta mengurangkan kos.
“Usaha ini disokong dengan amalan pertanian organik, kawalan perosak bersepadu dan pemantauan alam sekitar dan dalam masa sama, sisa pertanian diurus secara cekap melalui kitar semula dan teknologi bio, manakala petani juga harus diberikan pendidikan serta bantuan kerajaan termasuk subsidi, insentif dan kemudahan pasaran,” titah Baginda, semalam.

Sultan Pahang sewaktu bertitah mengenai projek SMACH Agropark di Cameron Highlands.
Projek fasa pertama yang dibangunkan di Tringkap melibatkan kawasan seluas kira-kira tiga ekar dan strategik bagi penanaman sayur-sayuran yang sesuai dengan iklim tanah tinggi.
Inisiatif ini dijangka menjadi contoh kepada para pemaju dan pengusaha kebun sayur di Cameron Highlands untuk mengadaptasi kaedah rumah hijau yang bukan sahaja menjamin hasil pertanian lebih berkualiti dan menguntungkan, tetapi juga mengekalkan keseimbangan alam sekitar dan dijangka menjadikan Cameron Highlands sebagai pusat rujukan pertanian moden dan mampan negara.
-RI





