Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanPerlis

LPPKN Perlis Anjur Forum Advokasi Kesihatan Reproduktif dan Sosial

By 12 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 12 Sep (MalaysiaAktif) – Bagi memperkasakan masyakat khususnya ibu bapa dalam memberikan pendidikan yang betul kepada remaja tentang kesihatan reproduktif dan sosial, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN) Negeri Perlis telah menganjurkan Forum Advokasi Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) Edisi Ibu Bapa.

Menurut Pengarah LPPKN Negeri Mohd Azmy Jakomar, berkata objektif utama forum ini adalah untuk memberi pendedahan tentang kepentingan pendidikan reproduktif dan sosial (SRHE) serta membantu ibu bapa menjadi rakan komunikasi yang efektif kepada anak-anak.

Mohd Azmy Jakomar ketika menyampaikan ucapan.

“Pada hari ini lebih dari 180 peserta yang hadir untuk mendengar tiga panel mengupas isu serta memberi pandangan mengenai remaja masa kini dan forum ini juga menyentuh isu-isu seperti perkahwinan bawah umur, kehamilan remaja dan tingkah laku berisiko mereka,” ujarnya, di sini semalam.

Tambah Azmy lagi, realiti isu kesihatan reproduktif dan sosial remaja di Perlis perlu diberi perhatian kerana berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak dua puluh tiga kes rogol melibatkan remaja bawah umur bawah 18 tahun telah dilaporkan pada tahun 2023 di Perlis.

“Manakala kes sumbang mahram pula mencatatkan tiga kes dan satu kes buang bayi direkodkan pada tahun tersebut dan lebih membimbangkan statistik dari Kementerian Kesihatan menunjukan bahawa sebanyak 132 kes kehamilan remaja berumur di antara 10 hingga 19 tahun telah didaftarkan di Perlis sepanjang tahun 2023 dengan sebahagian daripadanya melibatkan remaja tidak berkahwin,” jelasnya.

Para hadirin bergambar kenangan selepas selesai program.

Bagi memperkukuhkan advokasi dan pendidikan kepada remaja dan ibu bapa, LPPKN Negeri Perlis telah dan akan menganjurkan empat program pada tahun ini seperti Program PEKERTI@IPTA , Forum Advokasi kepada Ibu Bapa, Program KafeTEEN bersama Pembimbing Rakan Sebaya di sekolah menengah dan Program Pendidikan dan Pembangunan Kemahiran melalui Mobil dan Trak KafeTEEN untuk komuniti remaja di kawasan luar bandar.

“Ibu bapa adalah benteng utama dalam membentuk nilai moral dan tingkah laku anak-anak dan saya yakin dengan adanya kerjasama strategik antara pelbagai pihak serta iltizam dan komitmen bersama, kita mampu melahirkan generasi baharu yang bukan sahaja cemerlang daripada segi ilmu dan teknologi malah berjiwa besar,berintegriti,kreatif dan bersedia memainkan peranan produktif dalam memacu kemajuan negeri dan Malaysia secara keseluruhanya,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda