
Laporan/foto: Awangku Marzuki Ag Latip/Amir Kanje (Tawau)
TAWAU, 14 Sep (MalaysiaAktif) – Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Tawau disaran terus memperkukuh peranan sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam tertua di negeri ini dalam menyebarkan syiar Islam.

Nizam ketika menyempurnakan upacara perasmian program.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, USIA bukan sahaja berperanan dalam aspek dakwah, malah menjadi wadah penting memperkasa golongan belia agar berintegriti dan bertanggungjawab.
Beliau turut mengingatkan agar USIA memanfaatkan teknologi semasa termasuk media sosial bagi menggerakkan aktiviti dakwah serta mengukuhkan penyatuan masyarakat.
“USIA Tawau antara kepimpinan NGO Islam tertua di Sabah yang sentiasa aktif serta cakna dalam menganjurkan program dakwah dan pendidikan agama khususnya kepada umat Islam di Tawau.
“Kita jangan mudah terpedaya atau terpengaruh menyebarkan berita tidak benar di media sosial, sebaliknya gunakanlah ia sebagai wadah penyatuan ummah,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan USIA Bahagian Tawau ke-39 di Dewan Tun Mustapha, Masjid Raya Tawau, Ahad.
Merangkap ADUN Apas, Nizam turut menggesa agar USIA memberi fokus kepada pembangunan belia Islam di Tawau bagi melahirkan generasi beriman yang mampu berganding bahu bersama kerajaan dalam memastikan keamanan serta keharmonian negeri.

Kumpulan kompang wanita mengiringi ketibaan Nazri sebagai simbol sambutan hormat tetamu.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa menyalurkan bantuan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) bagi melancarkan aktiviti NGO Islam, selain sumbangan tahunan yang turut disalurkan menerusi wakil rakyat.
“Alhamdulillah, setiap tahun saya juga berusaha membantu memberikan sedikit sumbangan bagi menyokong program dakwah yang dijalankan oleh USIA Tawau,” ujarnya.
Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-39 itu turut menghimpunkan kepimpinan USIA Tawau bagi membincangkan hala tuju serta memperkukuh usaha dakwah dalam kalangan masyarakat Islam di daerah ini.
-RJ-





