Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Fahmi Cadang Syarat Kelayakan STR Dikaji Semula

By 15 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Shamsul Bahari Abdul Shukor

BUKIT MERTAJAM, 15 Sep (MalaysiaAktif) – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mencadangkan agar Kementerian Kewangan mengkaji semula syarat kelayakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Fahmi berkata melalui program Ziarah Kasih Komuniti MADANI di Mengkuang Titi, pihaknya cuba memahami isu penyakit tidak berjangkit yang membelenggu masyarakat dan permasalahan yang dihadapi.

Fahmi (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Akmal Azani Roslan, bapa Arnisya, remaja Orang Kurang Upaya (OKU) dalam program Ziarah Kasih Komuniti MADANI.

“Saya mengambil maklum ada dalam kalangan mereka yang menerima STR tetapi disebabkan mereka bekerja dan mendapat kenaikan gaji, kelayakan STR terhenti.

“Isu-isu yang disampaikan ini bagi saya sangat penting supaya pihak kementerian melihat sama ada dasar dan pelaksanaan program ini menepati maksud yang ingin dicapai,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Terdahulu, Fahmi menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada remaja Orang Kurang Upaya (OKU), Arnisya Roslan, 14, yang terlantar akibat masalah ketumbuhan otak sejak lahir dan Yusnizam Mohamed Yusop, 42, yang mengalami amputasi kaki akibat kencing manis.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Julina Johan.

Fahmi berkata dalam kedua-dua kes berkenaan, ketua isi rumah tidak mampu bekerja kerana masalah kesihatan dan akan meneliti semula mekanisme serta dasar yang dapat membantu rakyat.

-RI

Tinggalkan komen anda