Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Hari Malaysia Janjikan Persembahan Memukau Tonjolkan Keunikan Budaya

By 15 September 2025September 16th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Amalina Shazwani/Shamsul Bahari Abdul Shukor

BUTTERWORTH, 15 Sep (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Malaysia di Pusat Komuniti dan Kebudayaan Antarabangsa Pulau Pinang (PICCA) pada esok, menjanjikan persembahan memukau yang mengetengahkan keunikan keharmonian budaya yang menggabungkan tiga seni tradisi ikonik di Pulau Mutiara iaitu Joget Joghee, Opera Cina Teo Chew dan Boria.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil turut sama hadir semasa sesi raptai penuh.

Menghangatkan lagi pentas utama, barisan artis popular tanah air seperti Ratu Rock Negara Ella, Suki Low, Roshini Balachandran, Dabra Sia dan Rezza Shah turut bakal menghiburkan pengunjung dengan persembahan bertenaga sekali gus menyemarakkan suasana sambutan.

Manifestasi seni dan budaya ini memperlihatkan cara Malaysia MADANI menyantuni rakyat melalui nilai kesenian, sekali gus menyumbang kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Selain hiburan, pengunjung juga berpeluang menikmati pertunjukan bunga api yang mempesona, deretan trak makanan pelbagai cita rasa, pameran foto dan galeri sejarah negara, reruai interaktif serta demonstrasi penyediaan makanan tradisional.

Sesi raptai penuh dijalankan di PICCA.

Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang, Hasmiza Hussin menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama memeriahkan acara berprestij itu.

“Datanglah beramai-ramai dan manfaatkan cuti panjang ini untuk melawat Pulau Pinang. Hayati keindahan negeri ini, sambil singgah di PICCA bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik sempena Hari Malaysia,” katanya.

Majlis perasmian Sambutan Hari Malaysia dijadualkan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan Jemaah Menteri Persekutuan serta kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang.

-RI

Tinggalkan komen anda