
Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Shamsul Bahari Abdul Shukor
SUNGAI ACHEH, 15 Sep (MalaysiaAktif) – Kementerian Komunikasi akan mendapatkan kerjasama syarikat Google bagi membantu siasatan insiden e-mel ugutan berunsur video lucah yang diterima beberapa wakil rakyat lelaki baru-baru ini.

Fahmi (tengah) meletakkan batu asas Laman Komuniti MADANI sebagai simbolik perasmian Program BAKTI Komuniti MADANI di Sungai Acheh.
“Kita akan meminta pihak Google membantu menyiasat penghantar e-mel tersebut dan kita tunggu maklum balas daripada pihak Google,” kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Bersama Aktifkan Kesukarelawanan Teras Inspirasi (BAKTI) Komuniti MADANI di Dataran Kuala Haji Ibrahim di Nibong Tebal, di sini semalam.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Julina Johan.

Fahmi (berdiri) memberi penerangan mengenai isu-isu semasa ketika sesi Sembang Santai bersama Komuniti MADANI Daerah Seberang Perai Selatan dalam Program BAKTI Komuniti MADANI.
Menurut Fahmi alamat emel tersebut berkemungkinan diambil dari laman sesawang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jumlahnya agak besar dan kita jangka tidak mustahil semua mereka menerima emel yang sama, dengan ayat yang sama meminta jumlah yang sama,” katanya.
Beliau menegaskan pihaknya akan cuba mengenalpasti pelaku dan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menambah beberapa kelengkapan forensik digital bagi mengesan bahan-bahan yang dihasilkan melalui teknologi kecerdasan buatan (AI).
-RI





