Skip to main content
Rencana & Pendapat

MyKad Bukan Sekadar Kad, Ia Bukti Warganegara Yang Perlu Dipelihara

By 19 September 2025Tiada komen5 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi/JPN

PUTRAJAYA, 19 Sep (MalaysiaAktif) — Kad Pengenalan atau MyKad bukan sekadar dokumen pengenalan diri, sebaliknya ia adalah bukti sah kewarganegaraan yang wajib dipelihara dengan baik oleh setiap pemegangnya.

Mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, setiap individu yang dikeluarkan Kad Pengenalan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penjagaan dan keselamatannya, selaras dengan peranan MyKad sebagai dokumen asas dalam urusan rasmi kerajaan, kewangan serta kehidupan seharian.

Pengarah Bahagian Kad Pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Muhammad Asraf Sukadi berkata MyKad perlu dijaga dengan baik kerana ia membuktikan identiti si pemilik.

Pengarah Bahagian Kad Pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Muhammad Asraf Sukadi berkata di Malaysia, terdapat empat jenis Kad Pengenalan iaitu MyKad bagi warganegara, MyPR bagi Penduduk Tetap, MyKAS atau Kad Pengenalan Sementara kepada mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri tetap dan MyTentera bagi tentera yang sedang berkhidmat.

Beliau berkata dokumen tersebut perlu dijaga dengan baik kerana sekeping kad tersebut membuktikan identiti si pemilik kerana mempunyai nama, gambar dan biometrik pemegang.

“Dan menyentuh mengenai peranan Kad Pengenalan dalam urusan rasmi kerajaan seperti penyaluran bantuan dan subsidi, ia sebenarnya telah lama diguna pakai,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Asraf berkata salah satu inisiatif yang paling dekat dengan jiwa rakyat ketika ini adalah pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 setiap bulan secara automatik melalui Kad Pengenalan.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengumumkan Penghargaan SARA bernilai RM100 secara one-off kepada setiap warganegara berusia 18 tahun dan ke atas.

“Melalui penggunaan MyKad, kerajaan dapat memastikan setiap penerima bantuan adalah rakyat Malaysia yang sah dan benar-benar layak.

“Data pada MyKad juga disepadukan dengan pangkalan maklumat agensi lain seperti LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan e-Kasih, sekali gus mengurangkan birokrasi dan memudahkan rakyat menerima bantuan tanpa perlu melalui proses pendaftaran yang berulang,” katanya.

Kaedah berkenaan menurut beliau meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti kerana setiap tuntutan SARA direkodkan secara digital, sekali gus mengelakkan risiko penipuan, tuntutan berganda dan penyalahgunaan identiti.

Pada masa sama, ia membantu mengurangkan kos pentadbiran kerajaan berbanding kaedah manual sebelum ini selain seiring dengan aspirasi Kerajaan MADANI ke arah pendigitalan bantuan sosial dan sistem cashless pada masa hadapan, sekali gus membina keyakinan rakyat bahawa hak mereka lebih terjamin dan dilindungi.

JPN merekodkan purata kehilangan MyKad akibat faktor kecuaian melebihi 260,000 kes setiap tahun.

Bagaimanapun, Muhammad Asraf turut menekankan risiko sekiranya sekeping dokumen berkenaan itu hilang dari genggaman pemiliknya.

“Dalam banyak-banyak kes tangkapan oleh JPN, ada IC yang hilang itu digunakan oleh orang lain yang menyamar sebagai pemilik apabila menampal gambarnya pada IC yang dicuri.

“Baru-baru ini juga, ada kes seorang wanita di Selangor melaporkan IC milik suaminya hilang dan bantuan SARA miliknya telah digunakan oleh individu lain. Selain kes SARA ini juga, antara risiko lain apabila kehilangan IC ini adalah pelaku mungkin boleh gunakan identiti kita untuk buat pinjaman peribadi,” katanya.

Menurutnya, JPN mengenal pasti tiga faktor kehilangan Kad Pengenalan iaitu kecuaian, jenayah dan bencana.

Malangnya, bermula Januari hingga 31 Ogos lepas, faktor kecuaian mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 187,273 kes, diikuti jenayah (5,514 kes) dan bencana (2,886 kes).

“Faktor kecuaian secara puratanya adalah sebanyak 260,000 kes ke atas setiap tahun,” katanya menambah JPN mengenakan denda RM100 bagi kehilangan kali pertama, RM300 untuk kali kedua dan RM1,000 bagi kali ketiga dan seterusnya dengan pemilik perlu menyertakan juga laporan polis berhubung kehilangan itu.

Melihat kepada amaun denda tersebut, beliau berkata jumlahnya memang agak tinggi terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan namun ia sebenarnya salah satu cara kerajaan menzahirkan hasrat agar pemilik sedar akan kepentingan MyKad.

“Kita kena jaga IC sebagai harta benda yang berharga. Kalau hilang, mereka perlu bertanggungjawab atas kehilangan itu,” katanya.

Cip MyKad tidak mempunyai tarikh luput namun dokumen tersebut perlu ditukar sekiranya berlaku kerosakan pada cip atau wujud perubahan ketara ciri wajah pemilik.

Dalam pada itu, Muhammad Asraf turut mengingatkan sekiranya cip pada MyKad tidak mempunyai tarikh luput melainkan pemilik mengintegrasikannya untuk kegunaan Touch ‘n Go.

“Selagi cip itu boleh dibaca di mana-mana seperti di bank misalnya, tiada masalah. Tapi, Touch ‘n Go ini kebiasaannya hayat maksimum adalah 10 tahun dan kalau pemilik guna IC untuk nikmati inisiatif kerajaan seperti My50 yang dihubungkan Touch ‘n Go, dan bila ia dah luput maka mereka kena perbaharui IC di JPN.

“Selain itu, satu lagi keadaan yang memerlukan penukaran IC adalah apabila berlaku perubahan ciri wajah misalnya dari berisi ke kurus dan sebagainya yang menampakkan perbezaan pada gambar pemilik, maka disarankan untuk berbuat demikian,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda