
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 20 Ogos (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Program Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) melibatkan seluruh masyarakat khasnya golongan peniaga di Labuan.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni program itu menggunakan pendekatan whole of society.

Lukanisman (dua dari kiri) menampal pelekat BeSS di salah sebuah restoran makanan segera.
“Program BeBAs melibatkan penyertaan empat pertubuhan bukan kerajaan, tiga persatuan peniaga dan empat wakil peniaga dan kita berpuas hati dengan maklum balas yang diperolehi menerusi sesi libat urus bersama mereka.
“Kita telah memberi garis panduan yang ringkas dan jelas di mana premis perlu memaparkan paparan larangan merokok dan vape selain tidak menyediakan tempat atau bekas puntung rokok,” katanya selepas membuat tinjauan di beberapa buah premis. di sini semalam.

Lukanisman (dua dari kanan) turut meninjau pelaksanaan Akta 852 di salah sebuah kedai menjual vape.
Jelasnya, pihaknya juga telah berkongsi beberapa maklumat penting mengenai pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kepada peniaga di situ.
“Akta ini akan berkuatkuasa sepenuhnya pada 1 Oktober 2025 yang merangkumi kawalan pendaftaran produk merokok, kawalan pengiklanan, promosi, tajaan dan penjualan serta kawalan terhadap amalan merokok.
“Sehingga 31 Ogos 2025, sebanyak 365,765 premis telah dilawati, sebanyak 19,175 operasi telah dijalankan dan 915 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun di bawah Akta 852,” katanya.
-RI





