
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Jackson
RAWANG, 20 Sep (MalaysiaAktif) – Kampung bersejarah Batu Arang, di sini bertuah apabila dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), sekali gus menerima peruntukan RM1 juta bagi menaik taraf prasarana dan kemudahan asas.

(Tengah) Nor Azlan mengecat lukisan mural yang menceriakan Batu Arang.
Ketua Pengarah STRIDE, Nor Azlan Mohd Ramli berkata peruntukan tersebut digunakan untuk membaik pulih Dewan Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK), menaik taraf padang bola sepak, membina laluan pejalan kaki serta laman cergas, selain pemasangan lampu solar dan papan tanda warisan.
“Masjid Jamek Batu Arang turut menerima manfaat melalui kerja-kerja naik taraf dewan mesyuarat, pejabat jurunikah serta sistem elektrik.
“Pasar awam pula dibaik pulih bumbungnya demi keselesaan peniaga dan penduduk,” katanya pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Batu Arang, di sini hari ini.
Beliau berkata Batu Arang dipilih kerana nilai sejarahnya sebagai bekas kawasan perlombongan arang batu, lokasinya yang strategik berhampiran bandar serta potensi besar untuk dimajukan melalui pelancongan warisan, aktiviti riadah dan keusahawanan.

Nor Azlan bersama tetamu bergambar di hadapan bangunan yang dihias lukisan mural.
Lebih membanggakan, katanya penduduk Batu Arang sendiri menunjukkan semangat gotong-royong tinggi dalam menjayakan projek yang dilaksanakan.
“Program Kampung Angkat MADANI ini menyokong agenda Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan dan pembangunan seimbang.
“Setiap kampung angkat menerima RM1 juta sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya.
-RI





