Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Wellness Hub Labuan Tarik Lebih 10,000 Penyertaan Warga Tempatan

By 21 September 2025September 22nd, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 21 Ogos (MalaysiaAktif) – Aktiviti kecergasan berjadual anjuran Wellness Hub Labuan berjaya menarik penyertaan lebih 10,000 warga tempatan di pulau itu.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni program kecergasan yang telah dilaksanakan bersama rakan strategik menerima purata kehadiran 80 hingga 90 orang sehari.

Lukanisman (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang Pertandingan Sudut Kesihatan.

“Wellness Hub Labuan rancak melaksanakan pelbagai aktiviti kecergasan berjadual secara outreach dengan 113 sesi telah dilaksanakan setakat Ogos tahun 2025 ini.

“Selain itu, Program Intervensi Pengurusan Berat Badan – ‘I Fit and Eat Right’ (IFitER) pada tahun 2025 juga berjaya menarik seramai 261 peserta berbanding 88 peserta pada tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Labuan Sihat sempena Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2025, di sini semalam.

Jelasnya, Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat memandang serius mengenai isu kesihatan rakyat dengan meningkatkan peruntukan untuk kesihatan awam setiap tahun.

Lukanisman beramah mesra bersama masyarakat Labuan yang menyertai Karnival Labuan Sihat.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa komited meningkatkan tahap kesihatan rakyat melalui pendekatan pencegahan dan promosi kesihatan, termasuk pelaksanaan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS). Usaha ini bertujuan melahirkan masyarakat Malaysia yang sihat sejahtera melalui pembudayaan gaya hidup sihat.

“Saya juga ingin menyeru seluruh penduduk Labuan untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan sepanjang Karnival Labuan Sihat ini serta terus menyokong dan memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan Wellness Hub Labuan,” katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr. Ismuni Bohari dan Pengarah Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan Dr. Francis Paul.

-RI

Tinggalkan komen anda