Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Malaysia Aktif: Warga Selangor Semarakkan Semangat Sukan di Cyberjaya

By 21 September 2025September 22nd, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Memi Yusoff/Afiqq Rahman (Selangor)

SEPANG, 21 Sep (MalaysiaAktif) – Penjenamaan semula FitMalaysia kepada Malaysia Aktif merupakan langkah strategik untuk memperluas penyertaan rakyat daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira bangsa, agama atau tahap keupayaan.

Najwan (berdiri tiga dari kiri) bersama para pemenang bagi Program Biggest Loser KBS 2025 Peringkat Negeri Selangor

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor Mohd Najwan Halimi, Malaysia Aktif bukan sekadar program sukan, ia adalah gerakan yang membudayakan gaya hidup sihat dan menyemarakkan perpaduan nasional sejajar dengan semangat Malaysia MADANI.

“Program ini juga bertujuan untuk menarik penyertaan pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat dalam semua aktiviti sukan termasuk sukan rekreasi, sukan kecergasan dan sukan untuk Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya ketika merasmikan Program Malaysia Aktif Peringkat Negeri Selangor 2025 di Taman Tasik Cyberjaya, di sini semalam.

Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor itu merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional ‘Gerakan Sukan Untuk Semua’ (Sports for All Movement) yang merupakan landasan ke arah menjadikan Malaysia sebuah Negara Sukan (Sporting Nation).

Najwan turut menyampaikan hadiah kepada pemenang program Biggest Loser KBS 2025 Peringkat Negeri Selangor sebagai penghargaan atas usaha peserta dalam mengamalkan gaya hidup sihat.

Tambahnya lagi, penganjuran Malaysia Aktif juga menjadi platform awal bagi mempromosikan Hari Sukan Negara 2025 (HSN2025) peringkat negeri Selangor yang dijadual berlangsung pada 11 Oktober 2025.

Demonstrasi seni mempertahankan diri Wusyu.

“Bagi menyemarakkan lagi semangat Malaysia Aktif di peringkat komuniti, sebanyak 12 siri program Malaysia Aktif @ Komuniti turut dianjurkan di sembilan daerah seluruh Selangor bermula Ogos hingga November 2025,” ujarnya.

Pelaksanaan Malaysia Aktif itu berteraskan matlamat ‘Merakyatkan Sukan’ dengan menjadikan sukan sebagai medium untuk kesejahteraan, kesihatan dan kesepaduan sosial tanpa mengira kaum, agama mahupun latar geografi.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti Fun Run 5KM, Fun Walk 3KM, Aerobicthon Challenge, BikeErg Sprint Challenge, Jump Rope Challenge, X-Plorace OKU, Demonstrasi Silambam dan Wushu, Pameran Interaktif dan Pound Fitness.

Turut serta memeriahkan acara ialah agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat serta pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh negeri Selangor.

-RI

Tinggalkan komen anda