Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Seramai 1,388 Pesakit Kardiovaskular Direkod di Labuan

By 22 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 22 Sep (MalaysiaAktif) – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan 93 kes kardiovaskular baharu dan 1,388 pesakit sedang menerima rawatan penyakit jantung di Labuan.

Ismuni (dua dari kiri) menyampaikan hadiah bagi Pertandingan Virtual Run.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Ismuni Bohari, berkata data tersebut merupakan satu amaran agar langkah pencegahan segera diambil sebelum keadaan menjadi lebih serius.

“Amalan gaya hidup aktif dan pemakanan sihat perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat, di samping menjalani saringan kesihatan yang disediakan secara percuma di fasiliti kesihatan atau program jangkau luar. Langkah ini penting bagi mengesan risiko penyakit serta membolehkan intervensi awal dilakukan bagi mengelakkan komplikasi.

“Statistik DOSM pada 2024 menunjukkan penyakit jantung iskemik atau serangan jantung merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di negara ini, iaitu sebanyak 15.1 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan oleh perubatan,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2025, di sini semalam.

Ismuni bergambar kenangan bersama para tetamu jemputan dan warga Labuan.

Tambahnya, penyakit itu turut menjadi penyebab utama kematian dalam kalangan individu berusia 41 hingga 59 tahun, dengan lelaki didapati lebih terjejas berbanding wanita.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana memberi kesan besar bukan sahaja kepada kesihatan rakyat, malah juga kepada ekonomi negara.

“Justeru, saya mengajak seluruh warga Labuan menjadikan Sambutan Hari Jantung Sedunia ini sebagai titik tolak untuk memperkukuh tekad menjaga kesihatan diri serta keluarga,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda