
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Negeri Sembilan)
KUALA PILAH, 22 Sep (MalaysiaAktif) – Adat Menerang Buapak dan Adat Berkodim merupakan dua amalan penting dalam warisan Adat Perpatih yang masih diamalkan hingga kini, sekali gus wajar diangkat sebagai khazanah budaya yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.

Adat Berkodim, menerima menjadi sebahagian keluarga atau ‘masuk suku’.
Sehubungan itu, Program Adat dan Tradisi Kampung Angkat MADANI Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah diadakan di Kampung Sungai Layang, Seri Menanti, semalam dengan menampilkan sesi Adat Berkodim yang melambangkan penerimaan seseorang sebagai sebahagian daripada keluarga atau istilahnya masuk suku.
Program berkenaan telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz.
“Majlis seperti ini bukan sahaja memperingati warisan, malah mengingatkan kita bahawa nilai lama yang baik boleh terus hidup subur seiring dengan aspirasi baharu.
“Saya berharap generasi muda tidak melihat adat ini sekadar ritual, sebaliknya menjadikannya sebahagian daripada cara hidup untuk membentuk disiplin, memperkukuh perpaduan dan menyemai rasa cinta kepada tanah air,” katanya.

Sebahagian Dato’-Dato’ Adat yang hadir.
Dengan sokongan agensi berkaitan seperti Lembaga Muzium, Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Pejabat Daerah, YM Dato’ Adat Istana, Ibu Soko dan lain-lain, majlis adat itu berpotensi dijadikan produk pelancongan yang mampu diperkenalkan kepada pelancong serta generasi muda.
Pengalaman menghayati adat dalam majlis seumpama itu memberi dimensi baharu kepada masyarakat, sekali gus menjadi tonggak dan cerminan semangat Malaysia yang bersatu dalam kepelbagaian, teguh serta bermuafakat.
-RI





