
Laporan dan Foto Oleh : Sharman a/l Subramaniam (Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 23 Ogos (Malaysiaaktif) – Masyarakat India Kampung Sungai Yu membuat bantahan di hadapan pintu utama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, di sini pagi tadi.
Bantahan dibuat bagi menyatakan rasa tidak puas hati apabila pemberian tanah kepada penduduk tempatan yang dijanjikan lebih kurang tiga dekad lalu, kebanyakkannya diberi kepada penduduk bukan tempatan.
Bantahan tersebut diketuai oleh Ketua MIC Bahagian Kuala Selangor, Kumarasamy Subramaniam dan Timbalan Ketua MIC Bahagian Tanjung Karang, Ahilan Eranian serta ketua-ketua MIC cawangan.
Menurut Kumarasamy, beliau telah memaklumkan perkara ini kepada Penolong Pegawai Daerah, Mohd Faizal Abdul Raji. “Pihak Pejabat Daerah dan Tanah telah meminta supaya nama-nama penerima tanah yang telah memohon sebelum ini diberi kepadanya”, ujar beliau.
Tambahnya, pihak Pejabat Daerah dan Tanah akan menyemak semula perkara tersebut dan jika didapati benar, pihaknya akan membuat penamaan semula dalam pemberian tanah.
Menurut penduduk tempatan, Sritharan, “Sejumlah 36 ekar tanah telah dijanjikan oleh kerajaan kepada penduduk tempatan yang miskin semenjak tiga dekad lalu. Akhirnya isu ini selesai apabila kerajaan negeri telah mengambil tindakan dengan pemberian tanah tetapi masyarakat tempatan tidak bersetuju kerana sebahagian daripada penerima adalah orang luar yang tidak mempunyai hak memilikinya”, tambah beliau.
Apabila ditemubual dengan Penolong Pegawai Daerah, Mohd Faizal Abdul Raji, beliau menyatakan isu ini timbul selepas Majlis Penyerahan Surat Kelulusan dan Borang 5A diberi kepada 175 orang, yang terdiri daripada 154 India, 20 Melayu dan 1 Cina pada 19 Ogos lepas, dimana penyampaian disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Selangor.
“Pemberian tanah ini melibatkan 36 ekar kepada 175 pemohon dan perkara ini diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 27 April lepas”, tambah beliau.
“Pemilihan nama ini dibuat oleh jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu dipengerusikan oleh pegawai kanan dari pejabat daerah dan tanah, ahli-ahli dari kalangan ketua masyarakat setempat iaitu wakil pejabat EXCO Negeri Selangor,Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pusat Khidmat Masyarakat, penghulu mukim, ahli majlis,wakil peneroka dan wakil penduduk”, kata beliau.
Jawatankuasa ini akan menentukan dan memilih pemohon mengikut kriteria-kriteria ditetapkan antaranya, orang tempatan, berumur 30 tahun ke atas, tidak memiliki tanah lain, berpendapatan rendah dan sudah berkahwin.
-DK