
Laporan/ foto : Norlia Mili/ Abdul Hakeem Well (Sarawak)
KUCHING, 21 Sep (MalaysiaAktif) – Kejohanan Bowling Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sarawak berlangsung meriah di Megalanes E-Mart Batu Kawa, dekat sini kelmarin.
Kejohanan tersebut melibatkan penyertaan pelbagai biro dalam PERKEP yang saling berganding bahu untuk menjayakan program.
Kehadiran Isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sebagai tetamu kehormat yang membuat balingan pertama untuk gimik perasmian turut menyerikan suasana.

Jennita menyampaikan ucapan penangguhan di akhir kejohanan.
“Pertandingan ini bukan soal siapa juara tetapi lambang kesatuan dan kesejahteraan keluarga besar PERKEP,” kata Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak Datin Jennita William dalam ucapannya.
Tambah beliau, pertandingan boling kali ini bertujuan mengeratkan hubungan dan menyuburkan keharmonian sesama ahli.
“Ia juga mencerminkan komitmen kita dalam menyokong gaya hidup sihat dan seimbang, sejajar dengan aspirasi PERKEP untuk membentuk komuniti yang aktif, cergas dan harmoni,” katanya lagi.

Pasukan Pinheads dari Biro Pendidikan PERKEP menerima hadiah kejuaraan daripada Toh Puan Fauziah.
Kejohanan tahun ini menjadi kenangan istimewa buat Jennita kerana merupakan penampilan terakhir beliau sebelum menamatkan tugas sebagai pengerusi.
“Sukan menyatukan, PERKEP dikuatkan,” ujar Jennita mengakhiri ucapannya.
-RJ-





