
Laporan/ foto: Siti Rahimah Ajis (Sarawak)
JULAU, 22 Sep (MalaysiaAktif) – Pesta Lada Julau 2025 kembali menyerikan daerah Julau apabila menghimpunkan pengunjung dalam dan luar di pesta yang sedang berlangsung dari 20 hingga 27 September ini di Tempat Meletak Kereta Awam Majlis Daerah Meradong dan Julau, Pekan Julau.
Majlis perasmian berlangsung semalam dan disempurnakan Residen Bahagian Sarikei Datu Michael Ronnie Langgong yang menegaskan bahawa lada bukan sekadar hasil pertanian, tetapi komoditi bernilai tinggi yang mengangkat nama Sarawak di peringkat antarabangsa.
“Industri lada adalah satu rantaian ekonomi lengkap iaitu daripada penanaman, pemprosesan, pemasaran, inovasi produk hingga ke pelancongan dan kebudayaan apatah lagi Julau sendiri mempunyai tanah yang subur dan kedudukan strategik sebagai pengeluar utama,” katanya.

Michael Ronnie menyampaikan ucapan perasmian Pesta Lada Julau 2025.
Setiap kali Pesta Lada berlangsung, suasana pasti meriah melalui penyertaan beberapa agensi kerajaan dan swasta, memperlihatkan setiap pameran dikunjungi orang ramai untuk mendapatkan khidmat nasihat, maklumat dan peluang keusahawanan.
Antara agensi yang mengambil bahagian termasuklah Lembaga Lada Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaa (KWSP), Service Sarawak, Affin Bank, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarikei, Jabatan Pertanian Daerah Julau, Kolej Komuniti Sarikei, Klinik Kesihatan Julau dan penggiat kraftangan tempatan.
Sepanjang program berlangsung, pengunjung juga boleh melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang terrbuka dan sesuai untuk semua peringkat umur menjadikan Pesta Lada ini tarikan utama di sini ketika ini.
Menurut kenyataan penganjur, pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan antaranya senamrobik, pertandingan bola sepak sembilan sebelah, pertandingan e-Sports PUBG, karaoke, sukaneka pra-sekolah, pertandingan mewarna bertemakan lada, pertandingan memperagakan Burie serta Miss Pesta Lada Julau.
Selain itu, orang ramai juga berpeluang menonton persembahan artis jemputan pada setiap malam serta mengikuti dialog penanaman lada dan taklimat keusahawanan.

Pertandingan Memperagakan Burie, sejenis kain tradisional masyarakat Iban turut diadakan pada Pesta Lada kali ini.
Menariknya juga, saringan kesihatan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) turut disediakan di tapak pesta dan ia secara tidak langsung memberi manfaat kepada pengunjung yang layak untuk mendapatkan khidmat saringan kesihatan.
Melalui pelbagai pengisian program, Pesta Lada kali ini bukan sahaja bukan sahaja berkaitan produk lada tetapi melibatkan juga tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada pengunjung yang majoritinya masyarakat setempat.
-RJ-





