
Laporan/foto: Latifah Salleh/Affendi Abd Sukor (Tangkak)
TANGKAK, 24 Sep (MalaysiaAktif) – Setiausaha Kerajaan (SUK) Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman turun padang membantu kerja mengecat dinding rumah dalam program gotong-royong baik pulih rumah seorang penduduk Kampung Sagil Parit 1, di sini semalam.

Asman menyerahkan sumbangan daripada DYAM Pemangku Sultan Johor kepada penerima, Kaulani Basman.
Program bersempena lawatan kerja SUK Johor ke daerah berkenaan merupakan kerjasama di antara Pejabat Daerah Tangkak, Southern Volunteers Daerah Tangkak dan penduduk setempat.
Asman Shah turut menyempurnakan penyampaian kurniaan Pemangku Sultan Johor Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bagi bulan September Fasa 1 Tahun 2025 kepada empat penerima asnaf dari Mukim Tangkak.
Kaulani Basman, 85, pemilik rumah yang dibaik pulih melahirkan rasa syukur atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan.

Setiausaha Kerajaan Johor bersama sukarelawan Southern Volunteers Daerah Tangkak.
“Syukur Alhamdulillah atas bantuan baikpulih rumah ini. Terima kasih kepada Pejabat Daerah Tangkak serta semua pihak yang turun padang termasuk anak muda Southern Volunteers dan penduduk kampung yang berganding bahu membantu,” katanya.
Turut hadir Pegawai Daerah Tangkak Mohd Johari Tarmidi.
-RI





