
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Facebook Universiti Utara Malaysia (UUM) (Kedah)
SINTOK, 24 Sep (MalaysiaAktif) – Seramai 141 penuntut Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima Bantuan Kewangan Asasi (BKA) hasil inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Naib Canselor UUM Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan berkata BKA bertujuan membantu pelajar daripada kumpulan sasar B40 dan M40 agar membolehkan mereka meneruskan pengajian tanpa bebanan kewangan.

Antara penuntut UUM yang menerima bantuan Bantuan Kewangan Asasi daripada Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Sesungguhnya ini adalah salah satu bukti komitmen kerajaan untuk membantu pelajar-pelajar dari kumpulan B40 dan M40 untuk melanjutkan pengajian di fasa permulaan.
“Saya berharap semua penerima menggunakan peluang ini dengan sebaiknya dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian demi menjamin masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Sua bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT Datuk Dr. Megat Sany Ahmad Supian sempena penyerahan BKA di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen, di sini semalam.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT Datuk Dr. Megat Sany Ahmad Supian ketika menyampaikan ucapan.
Program ini mencerminkan iltizam kerajaan dalam memastikan pendidikan tinggi bersifat inklusif, sekali gus melahirkan graduan berdaya saing daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Penganjuran majlis berkenaan turut menjadi wadah pertemuan antara pelajar dan pihak pengurusan tertinggi KPT dalam menyampaikan amanat serta nasihat berguna untuk kejayaan akademik.
Turut serta barisan pengurusan universiti sebagai sokongan terhadap usaha kerajaan memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelajar berpotensi daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
-RI





