
Laporan/ foto : Norlia Mili/ Lim Poh Choo (Sarawak)
KUCHING, 24 Sep (MalaysiaAktif) – Bermula 27 September ini, rakyat Malaysia yang layak bakal menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter melalui pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Lee mencadangkan aplikasi Setel bagi pengguna minyak Petronas bertujuan memudahkan ketika membeli minyak di stesen Petronas.
BUDI95 diperkenalkan sebagai langkah penyasaran subsidi bahan api supaya hanya warganegara Malaysia mendapat manfaat harga istimewa ini dan melalui mekanisme baharu ini, setiap warganegara yang memiliki MyKad dan lesen memandu yang sah layak secara automatik menikmati harga subsidi sehingga 300 liter sebulan.
Penolong Pengurus Stesen Minyak Petronas Batu 7, Kuching Lee Ming Hui berkata lebih ramai pekerja akan ditempatkan di pam minyak bagi membantu pengguna apabila penggunaan MyKad untuk membeli minyak bersubsidi mula dilaksanakan.

Muhamad Qhidir berpendapat penggunaan MyKad akan memastikan hanya rakyat Malaysia yang layak untuk menikmati minyak bersubsidi.
“Bagi pengguna minyak petrol Petronas, kami amat menggalakkan pelanggan menggunakan aplikasi Setel untuk memudahkan urusan pembayaran,” katanya.
Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Muhammad Qhidir Mat Isa pula menyokong penuh penyasaran subsidi kerana ia memastikan bantuan benar-benar dinikmati rakyat Malaysia.
“Subsidi ini bukan sahaja meringankan kos sara hidup, malah menghalang warga asing daripada turut sama menikmati manfaat yang sepatutnya untuk rakyat negara ini,” tegasnya.

Charles Edmund, pemandu Maxis sepenuh masa berharap kadar subsidi RM1.99 kekal untuk satu tempoh yang panjang.
Manakala pemandu e-hailling, Charles Edmund berpendapat pengurangan harga subsidi petrol RON95 oleh kerajaan merupakan berita baik untuk pemandu e-hailling kerana dapat mengurangkan kos operasi serta berharap harga itu akan kekal untuk tempoh yang lebih lama.
Pegawai Penerangan Daerah Lundu Aisyah Latip yang berulang-alik dari Kuching ke Lundu setiap hari membelanjakan kira-kira RM450 sebulan, berpendapat subsidi minyak RON95 sememangnya membantu majoriti rakyat Malaysia dengan mengurangkan beban sara hidup secara langsung.
“Wang yang biasanya digunakan untuk minyak boleh dialihkan kepada keperluan lain seperti makanan, pendidikan, atau kesihatan,” jelasnya.
Sementara itu, guru memandu Sekolah Memandu Cangira, Siti Adilah Mohd Zainuddin berkata siling kelayakan 300 liter sebulan tidak mencukupi bagi pengajar sekolah memandu seperti beliau yang menggunakan banyak petrol setiap hari.
“Saya membelanjakan kira-kira RM180 untuk petrol setiap minggu dan kalau boleh, guru memandu di sekolah memandu tidak tertakluk kepada had kelayakan ini,” ujarnya.
Rata-rata pihak yang ditemui menyifatkan pelaksanaan BUDI95 bukan sahaja mengurangkan beban kos sara hidup malah membuktikan subsidi disalurkan terus kepada rakyat dengan lebih tersusun dan adil.
-RJ-





