
Laporan & Foto: Lim Poh Choo/Bolhan Basah (Sarawak)
KUCHING, 25 Sep (MalaysiaAktif) – Stadium Perpaduan, Petra Jaya bergema dengan sorakan dan semangat perpaduan apabila Majlis Pelancaran Borneo Games Kuching 2025 berlangsung dengan penuh warna-warni, semalam.
Orang ramai membanjiri stadium untuk menyaksikan acara berprestij ini yang menghimpunkan atlet dari seluruh Borneo serta negara jiran serantau dalam temasya bermula semalam hingga 28 September ini.
Kali terakhir dianjurkan pada tahun 2013 di Labuan, Borneo Games kini kembali selepas 12 tahun, dengan Sarawak dipilih sebagai tuan rumah dengan lima acara utama dipertandingkan iaitu olahraga, renang, badminton, memanah, dan lawn bowl.

Perbarisan kontinjen Labuan dan Sarawak semasa Majli Pelancaran Borneo Games di Stadium Perpaduan.
Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Menteri, Datuk Gerald Rentap Jabu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur.
“Selepas menyepi selama 12 tahun, penganjuran semula sukan ini bertujuan merapatkan hubungan serta mengukuhkan perpaduan antara wilayah di Kepulauan Borneo,” kata Abdul Karim ketika berucap pada majlis perasmian.
Gerald dalam ucapannya menyifatkan temasya itu yang amat bermakna dan menjadi kebanggaan Sarawak selaku tuan rumah turut menjadi medan persiapan penting untuk atlet negeri berkenaan menghadapi kejohanan sukan akan datang.
“Penganjuran ini bukan sekadar medan persaingan, malah sebagai persediaan awal ke arah SUKMA (Sukan Malaysia) Selangor 2026 dan Sukan SEA 2027,” katanya.

Persembahan tarian tradisional pelbagai etnik di Sarawak merupakan kemestian pada setiap cara pelancaran sukan di sini.
Kemeriahan majlis pelancaran turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan perarakan kontinjen dari negeri-negeri serta negara yang mengambil bahagian dalam mencerminkan kepelbagaian budaya dan semangat kesukanan yang menjadi teras utama temasya berkenaan.
Kejohanan tersebut terus menarik minat masyarakat pelbagai lapisan di Sarawak termasuk Steven Chung, 55, dan isterinya May Tan, 53, dari Kuching antara yang hadir bersama keluarga untuk memberi sokongan.

Steven (kiri) bersama isterinya, May Tan (kanan) turut hadir menyaksikan Majlis Pelancaran Borneo Games 2025.
“Saya peminat sukan sejak kecil dan sering mengikuti bapa menyaksikan temasya seperti ini. Tahun ini lebih bermakna kerana anak saya sendiri menyertai acara badminton mewakili kontinjen Sarawak. Kami sekeluarga hadir memberi sokongan penuh,” katanya.
Penganjuran Borneo Games 2025 diyakini akan berlangsung dengan jayanya berdasarkan pengalaman luas Sarawak sebagai tuan rumah pelbagai acara sukan besar termasuk SUKMA 2024, selain fasiliti moden dan sokongan padu rakyat tempatan.
-RJ-





