
Laporan/foto: Ali Imran/Amirul Amran
KEMAMAN, 25 Sep (MalaysiaAktif) – Anak-anak daripada keluarga B40 dan asnaf kini berpeluang menceburi bidang maritim serta perkapalan apabila Institut Pendidikan dan Latihan Ranaco (RETI) menjalin kerjasama strategik dengan Yayasan Tengku Abdul Aziz Sultan Abu Bakar (YTAASAB).

Tenaga pengajar Institut Pendidikan dan Latihan Ranaco (RETI) mengendalikan latihan menyelam
Inisiatif ini membuka laluan kepada golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sektor maritim, bidang yang semakin mendapat permintaan tinggi di peringkat domestik dan antarabangsa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RETI Syafiq Asraf Mohd Yusop, usaha tersebut bertujuan memastikan pelajar yang berpotensi tidak tercicir hanya kerana disebabkan kekangan kewangan.
“Pelajar kurang berkemampuan yang ingin mengikuti kursus kemahiran akan dibantu. RETI adalah satu-satunya institusi milik bumiputera yang menawarkan latihan khusus dalam bidang maritim dan perkapalan,” katanya.
Beliu berkata demikian ketika ditemui sempena Program Lawatan Tapak dan Ramah Mesra YTAASAB bersama warga RETI di Kampus RETI, kelmarin.

Pengerusi YTAASAB dan warga RETI merakam kenangan sempena program Lawatan Tapak dan Ramah Mesra YTAASAB di Kampus RETI
Melalui kerjasama ini, YTAASAB akan membantu dari segi pembiayaan yuran pengajian manakala RETI pula menambah baik prasarana sedia ada bagi menyediakan suasana pembelajaran dan latihan yang lebih kondusif serta selamat.
Usahasama itu dijangka memperkasa belia luar bandar melalui pendidikan teknikal sekali gus membangunkan modal insan negara dalam sektor kritikal seperti maritim dan perkapalan.
-AA-





