
Laporan/foto: Nik Awang Yaacob/Muhammad Raffiuddin Faizul (Setiu)
SETIU, 24 Sep (MalaysiaAktif) – Seramai 40 pelajar Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dari daerah Setiu tampil penuh bersemangat dalam Alpha Gent Talents @ KEMAS Pencarian Bakat Cilik peringkat negeri Terengganu, kelmarin, yang bertujuan mencungkil potensi serta bakat terpendam kanak-kanak seawal usia prasekolah.

Pelancaran Kontinjen KEMAS Setiu disempurnakan oleh Hamdan Hamzah
Majlis pelancaran kontinjen KEMAS Setiu disempurnakan Hamdan Hamzah Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri merangkap Pengerusi Komuniti KEMAS DUN Permaisuri, yang turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha mencorak generasi pelapis negara ini.
Menurut Pegawai KEMAS daerah Setiu Mohamad Nazrin Shah Nor Amran, pertandingan itu memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyerlah dalam empat kluster utama yang menguji aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
“Program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi juga medan melatih keberanian, keyakinan diri serta kreativiti kanak-kanak sejak dari bangku Tabika lagi,” katanya.

Guru Tabika dan Taska KEMAS antara pembimbing program Alpha Gent Talents @ KEMAS Pencarian Bakat Cilik
Guru-guru tabika dan taska katanya turut memainkan peranan penting sebagai pembimbing bagi memastikan setiap peserta bersedia dengan persembahan terbaik mereka dalam suasana ceria dan penuh semangat.
Kontinjen Setiu kini bersiap siaga untuk menampilkan persembahan yang mampu mencuri tumpuan di peringkat negeri, sekali gus membuktikan bahawa bakat cilik juga mampu bersinar dengan bimbingan yang tepat.
-AA-





