
Laporan/foto: Abidin A. Ghani (Hulu Terengganu)
HULU TERENGGANU, 25 Sep (MalaysiaAktif) – Bermula dengan hanya 10 ekor itik telur di sekitar rumahnya pada tahun 2023, Kapten (B) Udara TUDM, Abdul Latif Jamaluddin kini tersenyum bangga apabila penternakannya berkembang pesat sehingga mencecah 400 ekor itik.

Abdul Latif tekun membersihkan telur itik bagi memastikan kualiti dan kebersihan sebelum dipasarkan
Menariknya, usaha ternakan di Kampung Temir itu dijalankan secara teratur dengan penggunaan air Sungai Terengganu sebagai sumber utama, selain makanan khas dalam beg tanpa bergantung pada sisa makanan kedai.
Kaedah itu bukan sahaja menjaga kualiti telur, malah mengelakkan bau yang kurang menyenangkan serta gangguan musuh ternakan seperti biawak dan ular.
“Saya bermula kecil-kecilan sahaja dengan 10 ekor, tetapi bila nampak hasilnya baik, saya beranikan diri tambah lagi. Alhamdulillah, sekarang hasil harian boleh cecah 400 biji telur,” katanya ketika ditemui di ladangnya, di sini kelmarin.

Lebih 400 ekor itik dipelihara dengan kaedah teratur, menggunakan air Sungai Terengganu sebagai sumber utama bagi tumbesaran
Dengan bantuan Pak Bakar yang turut mengusahakan ternakan itik telur di kediamannya, hasil pengeluaran Abdul Latif kini lebih konsisten.
“Kami gembira kerana telur ini mendapat permintaan tinggi, terutama daripada peniaga nasi kerabu dan nasi campur di sekitar Kuala Berang dan Bukit Payong,” katanya.
Kecekalan Abdul Latif membuktikan bekas anggota pertahanan juga mampu mencipta kejayaan dalam bidang keusahawanan tani, sekali gus membuka peluang inspirasi kepada masyarakat setempat.
-AA-





