
Laporan/foto: Nur Syahida Che Rus/Norhayani Hashim (Yan)
YAN, 25 Sep (MalaysiaAktif) – Kreativiti seorang bekas arkitek yang beralih minat kepada penternakan rusa kini mencetuskan tarikan baharu agropelancongan di Kedah apabila beliau berjaya menghasilkan menu istimewa berasaskan daging rusa ternakan sendiri di Rusa Farmstay, Kampung Batas Ubi, di sini.

Mazlan Jaafar di Rusa Farmstay, Kampung Batas Ubi, Yan.
Pemiliknya Mazlan Jaafar, 58, bersama isterinya mengilhamkan hidangan unik seperti Nasi Talam Combo yang menampilkan sajian rusa panggang, kambing panggang, ayam goreng dan kari kambing sehingga menjadi kegemaran pelanggan.
“Pada awalnya sekadar hobi untuk mengisi masa lapang, kini ia berkembang menjadi tarikan apabila kami memasak sendiri daging rusa untuk pelanggan yang menginap,” katanya ketika ditemui di ladangnya, baru-baru ini.
Bermula bulan depan, beliau berkata orang ramai turut berpeluang menikmati menu berasaskan rusa ini di F&B 3, iCON Yan, Guar Chempedak, di sini tanpa perlu membuat tempahan awal.

Menu Nasi Talam Combo menarik perhatian serta kegemaran pelanggan yang menginap di Rusa Farmstay.
Antara sajian menarik lain yang bakal memikat pengunjung termasuk Korean Noodles with Rusa Soup, Fettuccine Carbonara with Rusa Topping serta Rusa Grill with Buttered Potatoes, yang boleh dinikmati sambil menghayati panorama indah Gunung Jerai.
Mazlan yang turut bekerjasama rapat dengan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yakin usaha tersebut mampu menyokong aspirasi kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor agropelancongan serta memberi impak positif kepada ekonomi setempat.
-RI





