
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Ling Tian Soon
JOHOR BAHRU, 26 Sep (MalaysiaAktif) – Wad di tingkat lima Bangunan Induk Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru kini siap dinaik taraf sepenuhnya dengan kemudahan lebih moden, terang dan selesa termasuk sistem pendawaian elektrik serta bekalan oksigen baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Ling Tian Soon berkata wad berkenaan akan diserahkan kontraktor kepada pihak hospital pada 28 September ini, sebelum pesakit dipindahkan sebagai persediaan bagi kerja-kerja naik taraf seterusnya.

Lebih 1,000 katil berjaya dikumpulkan dengan 830 daripadanya telah dihantar, sekali gus menggantikan lebih 80 peratus katil di hospital dengan yang baharu.
“Wad baharu ini bukan sahaja lebih luas dan selesa, malah dilengkapi kemudahan yang dapat meningkatkan mutu rawatan serta memudahkan operasi petugas kesihatan.
“Ini sebahagian daripada usaha berterusan menaik taraf HSA demi keselesaan pesakit dan kelancaran perkhidmatan,” katanya selepas melakukan lawatan ke hospital berkenaan, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ling memaklumkan sasaran asal untuk mengumpul 969 buah katil bagi HSA telah berjaya melepasi jangkaan, hasil kerjasama pejabatnya bersama syarikat sosial, pertubuhan kebajikan serta orang ramai.
“Sehingga kini, lebih 1,000 buah katil berjaya dikumpulkan, dengan 830 daripadanya sudah dihantar. Ini bermakna lebih 80 peratus katil di hospital telah digantikan dengan yang baharu,” jelasnya.
Beliau berkata penggantian besar-besaran itu meningkatkan kelancaran operasi hospital serta keselesaan pesakit, khususnya di wad kanak-kanak yang kini dilengkapi katil baharu sepenuhnya.

Ling (baju putih) melakukan lawatan ke Wad di Tingkat Lima, Bangunan Induk Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk melihat sendiri kerja-kerja naik taraf yang telah siap sepenuhnya.
Secara keseluruhan, HSA mempunyai 1,206 katil, namun sebanyak 117 katil di empat wad terpaksa dihentikan operasi sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf tersebut.
“Walaupun terdapat kekangan, pihak hospital mengambil langkah segera dengan menambah katil di wad sedia ada serta menggunakan ruang lain bagi menampung keperluan pesakit.
“Saya berharap orang ramai dapat bersabar dan memahami keadaan ini kerana setelah semua kerja siap, HSA akan tampil dengan wajah baharu serta perkhidmatan yang lebih berkualiti,” katanya.
-RI





