
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Facebook KPDN (Kedah)
SUNGAI PETANI, 27 Sep (MalaysiaAktif) – Kerajaan MADANI sentiasa berusaha menangani isu kos sara hidup rakyat negara ini.
“Dalam Kerajaan MADANI hari ini, isu kos sara hidup ditangani secara menyeluruh, bukan hanya dari aspek harga barang, tetapi turut mengambil kira peningkatan pendapatan rakyat,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan ketika berucap di Majlis Perasmian Program Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2025 serta Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2025 serta Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Zon Utara di Dataran Amanjaya Mall, di sini semalam.
Karnival yang berlangsung tiga hari mulai semalam sehingga esok bertujuan menggalakkan masyarakat membeli produk buatan tempatan selain memberi peluang kepada usahawan memperkenalkan barangan mereka secara lebih meluas.
Armizan menegaskan peranan utama KPDN adalah memastikan kerajaan dapat menangani isu kartel, penyeludupan serta penyelewengan subsidi.
Katanya, perkara itu menjadi agenda besar kerana memberi kesan langsung terhadap kestabilan harga barang.
Dalam majlis berkenaan, Armizan turut menyampaikan sumbangan Bakul RAHMAH, inisiatif KPDN yang mengandungi barangan keperluan harian bagi membantu golongan yang memerlukan kepada 200 penerima terpilih.

Armizan turut beramah mesra bersama pengunjung yang hadir.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPDN Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) Datuk Roziah Abudin dan Ketua Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Datuk Azman Adam.
Karnival berkenaan merangkumi pelbagai pengisian berbentuk promosi jualan, pameran produk tempatan, khidmat nasihat kepenggunaan, aktiviti interaktif untuk seisi keluarga serta kempen kesedaran mengenai kepentingan menyokong produk Malaysia.
Program tersebut dijangka meningkatkan sokongan rakyat terhadap produk buatan tempatan, sekali gus memperkukuh daya saing industri dalam negeri dan membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara.
-RI





