
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar /Facebook Universiti Utara Malaysia (Kedah)
SINTOK, 27 Sep (MalaysiaAktif) – Pemain India Ishnidh Singh Virdi dan pemain Jepun Akane Motomura, dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Kedah 2025.
Ishnidh menamatkan saingan dengan catatan 211 pukulan (71-70-70), sekali gus menewaskan wakil tuan rumah, Muhammad Danish Muhammad Rizal dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang meraih tempat kedua dengan 218 pukulan dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari di Kelab Golf Sultan Sallehuddin (KGSS), UUM dari 23 hingga kelmarin.

Antara barisan pemain-pemain Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Kedah 2025.
Bagi kategori wanita, Akane Motomura unggul dengan kutipan 210 pukulan (69-70-71), meninggalkan rakan senegara, Miyumi Teramachi, di tempat kedua dengan 214 pukulan.
Timbalan Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata kejohanan bertaraf antarabangsa itu sekali lagi mengangkat nama UUM dan Kedah di persada dunia.
“Penyertaan lebih 70 pemain muda dari 18 negara membuktikan kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan bakat, tetapi juga platform diplomasi sukan yang menghubungkan generasi muda seluruh dunia,” katanya, di sini.
Selain India dan Jepun, kejohanan kali ini turut disertai peserta dari Amerika Syarikat, Arab Saudi, Kazakhstan, Pakistan, Indonesia, Iran dan Malaysia termasuk wakil UUM serta kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Kedah.
Beberapa pemain tempatan turut mencatat keputusan membanggakan apabila wakil UUM, Muhammad Azahari Amir dan Hazeem Yusoff, menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik kategori lelaki.
Bagi kategori wanita, Nur Ameera Najwa dan Nur Fazliana Azihan pula memberikan tentangan sengit kepada pencabar antarabangsa.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan di KGSS dengan kehadiran Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) merangkap Penasihat Asia Golf Malaysia Datuk Ahmad Shapawi Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif Asia Golf Malaysia Mohd Faizal Aminuddin.
Kejohanan tersebut bukan sahaja memberi pendedahan berharga kepada pemain tempatan beraksi menentang jaguh junior dunia, malah mengukuhkan misi UUM sebagai kampus hijau yang turut menjadi destinasi pembangunan bakat sukan golf peringkat antarabangsa.
-RI





