Skip to main content
JohorBerita Tempatan

1,997 Produk Vape Pelbagai Jenama Disita

By 28 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook Ling Tian Soon (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 28 Sep (MalaysiaAktif) — Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah merampas sebanyak 1,997 unit produk vape di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru.

Ling turut serta dalam operasi bersepadu sitaan vape bersama penguatkuasa daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di premis perniagaan yang menjual produk vape di pusat beli-belah, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon, berkata produk vape yang disita itu termasuk vape pakai buang, perisa vape serta peranti vape yang dijual oleh peniaga di pusat beli-belah berkenaan.

“Sebanyak lapan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 kerana tidak mempamerkan tanda larangan penjualan produk merokok kepada orang belum dewasa dan dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 7 (1) akta sama kerana larangan pengiklanan produk tembakau bagi tujuan pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Operasi Bersepadu Sitaan Vape, di sini kelmarin.

Penguatkuasa Kesihatan dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengeluarkan beberapa saman dan kompaun ke atas pemilik premis perniagaan yang melakukan kesalahan penjualan produk vape di pusat beli-belah berkenaan.

Dalam pada itu, Ling Tian Soon berkata kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur terhadap aktiviti penjualan produk vape memandangkan kerajaan negeri telah melarang serta tidak mengeluarkan sebarang kebenaran lesen penjualan vape atau rokok elektronik sejak 2016 lagi.

“Penjualan produk vape adalah dilarang sama sekali dan mana-mana pihak yang didapati melanggar arahan ini akan dikenakan tindakan tegas dan kita akan terus mempergiatkan lagi operasi penguatkuasa ini di seluruh negeri bagi mengekang penjualan vape di Johor,” katanya.

Katanya, operasi yang dijalankan adalah mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred Perniagaan dan Perindustrian (MBJB) 2016 Akta Kerajaan Tempatan.

-RI

Tinggalkan komen anda