
Laporan/ foto : Lim Poh Choo (Sarawak)
KUCHING, 28 Sep (MalaysiaAktif) – Rohani Sephia Ananda Hatta, 25, atlet Kalimantan Timur (KALTIM) berjaya mengatasi saingan atlet lain termasuk atlet tuan rumah dalam acara memanah pada Borneo Games yang berlangsung di sini.
Beliau yang berasal dari Provinsi Kalimantan Timur (KALTIM), Indonesia merupakan mahasiswa tahun ketiga Universitas Kutai Kartanegara menceburi sukan memanah sejak 2013 dan ini adalah penyertaan pertama di luar Indonesia.
“Kejayaan ini suatu yang membanggakan bagi saya dan pasukan KALTIM apabila mampu meraih tiga pingat emas,” ujar Rohani ketika ditemui selepas berakhirnya acara memanah hari ini.

Rohani, atlet memanah dari KALTIM beraksi baik meraih tiga pingat emas sepanjang acara memanah berlangsung selama empat hari.
Tiga pingat emas yang dimenanginya masing-masing daripada acara compound wanita, compound wanita berpasukan bersama Azdraa Atira Afifah, 15, Nola Abrillia, 23, dan compound wanita (individu).
Beliau juga menceritakan pengalamannya yang selalu mengikuti pertandingan di negara sendiri sebelum ini dan pernah memperolehi dua pingat emas di Pekan Olahraga Nasional (PON) XXI yang berlangsung di Provinsi Acheh dan Sumatera Utara pada tahun 2024.
“Pandangan saya, Borneo Games ini memang bagus kerana kita berpeluang berjumpa dan mengenali rakan atlet dari negara lain sambil mengenali budaya, bahasa termasuk makanan tempatan, kebetulan saya juga menyukai Kuching kerana orangnya ramah-mesra dan senang bergaul,” katanya lagi.

Atlet memanah KALTIM (juara) bersama atlet memanah Sarawak (naib juara) membuktikan keupayaan pasukan masing-masing yang mengenepikan cabaran pasukan lain.
Tambah Rohani lagi, Borneo Games wajar dianjurkan dengan lebih kerap memandangkan telah lama diberhentikan kerana temasya sukan seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu malah mampu memperkukuhkan perpaduan antara wilayah serantau melalui semangat kesukanan.
“Saya ikhas memuji penganjuran ini kerana bukan sahaja semuanya berjalan lancar tetapi juga setiap venue berfasiliti lengkap, strategik dan mudah diakses terutamanya bagi kami atlet luar,” ujarnya mengakhiri perbualan.
-RJ-





