Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Sarawak Dominasi Acara Menyumpit Borneo Games

By 28 September 2025September 30th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto : Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 28 Sep (MalaysiaAktif) – Sarawak terus membuktikan keunggulannya dalam sukan tradisional apabila berjaya menyapu bersih lima pingat emas acara menyumpit pada temasya Borneo Games di sini, semalam.

Walaupun hanya melibatkan dua kontinjen iaitu Sarawak dan Kalimantan Timur (KALTIM), pertandingan tetap berlangsung sengit dengan sorakan padu penonton yang hadir memberi semangat kepada para atlet.

Kejayaan menyeluruh itu sekali gus mengangkat warisan menyumpit sebagai kebanggaan tempatan dan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai tuan rumah.

Atlet menyumpit KALTIM tetap memberikan saingan senfgit kepada tuan rumah.

Bagi atlet wanita Sarawak, Benone Akim, 61, penglibatan beliau merupakan pengalaman yang amat berharga kerana berpeluang memartabatkan warisan nenek moyang di pentas besar.

“Saya bangga kerana sukan ini sentiasa mendapat tempat di peringkat antarabangsa dan ia juga bukan sahaja mengenai pertandingan, tetapi juga tentang memartabatkan warisan nenek moyang kita,” katanya.

Beliau menambah, latihan gigih sekali sehari setiap hari dan sokongan rakan-rakan membuahkan hasil apabila berjaya meraih pingat emas dalam kategori Perseorangan Wanita.

“Walaupun tiupan angin agak kencang pada hari pertandingan, hasil latihan konsisten setiap hari termasuk sokongan rakan sepasukan membolehkan saya mengatasi cabaran itu,” ujarnya.

Benone Akim berpengalaman lebih 15 tahun dalam sukan menyumpit.

Menariknya, edisi kali ini turut menampilkan acara menyumpit terbuka kepada orang awam yang mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 30 peserta bagi kategori Lelaki Terbuka dan Wanita Terbuka.

Dalam saingan Lelaki Terbuka, Poria Abun, 62, muncul juara selepas menewaskan cabaran sengit daripada Meli Tintang, 50, menerusi penentuan mata akhir selepas kedua-duanya terikat mata.

“Saya hanya mencuba-cuba sahaja pada awalnya, tetapi tidak menyangka mampu meraih kemenangan dalam saingan sengit ini,” kata Poria sambil tersenyum.

Poria (kanan) dan Meli terikat mata dan pertarungan antara mereka berdua menyaksikan Poria muncul juara.

Menurutnya, kemenangan itu amat bermakna kerana memberi makna lebih besar daripada sekadar kejayaan peribadi tetapi juga satu penghormatan kepada warisan budaya beliau.

Acara menyumpit bukan sahaja menobatkan Sarawak sebagai juara mutlak malah memperkukuhkan nilai warisan budaya yang diterjemahkan melalui sukan dan mewujudkan persahabatan antara peserta Sarawak dan KALTIM.

-RJ-

Tinggalkan komen anda