Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Daerah Bandar Baharu Meriah

By 29 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)

BANDAR BAHARU, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Majlis Sambutan Hari Kebangsaan peringkat daerah Bandar Baharu 2025 hari ini berlangsung meriah di Pekan Serdang, di sini dengan pelbagai acara patriotik dan kebudayaan yang menarik perhatian orang ramai.

Tuan Mohd Noor (tengah) bersama pemimpin-pemimpin di Daerah Bandar Baharu.

Pegawai Daerah Bandar Baharu Tuan Mohd Noor Ismail yang hadir bersama pembesar daerah dan ketua-ketua jabatan, disambut penuh adat istiadat.

Detik simbolik tercipta apabila Jalur Gemilang diserahkan oleh pasukan berkuda EQ Services sebelum hadirin bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku dan lagu Negeri Kedah.

Acara perarakan kemerdekaan menjadi tumpuan dengan penyertaan kontinjen jabatan kerajaan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah menengah, sekolah rendah, tadika serta pasukan berkuda.

Turut menyerikan sambutan ialah perarakan aset jabatan, persembahan pancaragam Sekolah Kebangsaan Baling, silat, syair, sajak serta persembahan kesenian dan kebudayaan tempatan.

Kontinjen Majlis Daerah Bandar Baharu mengungguli tempat pertama Pertandingan Perbarisan Kawad Merdeka.

Menurut seorang veteran tentera Saidin Yahaya, 76, penganjuran sambutan itu menyuburkan semangat patriotisme generasi muda.

Persembahan pancaragam amat mengagumkan dan wajar diteruskan setiap tahun,” kata Norlela Jaafar, 51, salah seorang pengunjung.

Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah kepada kontinjen dan agensi terbaik, sekali gus menutup tirai sambutan yang mencerminkan perpaduan, kecintaan dan kebanggaan rakyat terhadap tanah air.

Sambutan berkenaan membuktikan semangat patriotisme dan perpaduan masyarakat terus subur, seiring aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kebersamaan dalam membina negara bangsa.

-RI

Tinggalkan komen anda