Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

Festival Kota Selatan (FKS) 2025 Meriah di Pontian

By 29 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor/JKKN Johor (Pontian)

PONTIAN, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Festival Kota Selatan (FKS) 2025 yang menghimpunkan pelbagai elemen seni, budaya dan warisan khususnya negeri Johor berlangsung meriah selama tiga hari sejak Khamis lalu.

Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata festival itu bukan sekadar menghidupkan suasana daerah, malah menjadi wadah memperkukuh semangat perpaduan masyarakat melalui seni dan budaya.

Gimik perasmian disempurnakan oleh Ahmad Maslan (tengah) sambil diperhatikan oleh Amran (dua dari kiri), Hasrunizah (kana sekali) dan Kamalludin (dua dari kanan).

“Festival ini bertujuan meraikan kepelbagaian budaya, seni dan warisan tempatan, serta mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian program tersebut di Dataran Majlis Perbandaran Pontian, di sini kelmarin.

Ahmad Maslan turut menambah bahawa festival tersebut secara tidak langsung mempromosikan Kota Selatan sebagai destinasi pelancongan budaya dan ekonomi kreatif, di samping menghargai sumbangan semua pihak yang menjayakan penganjuran itu.

Penduduk Pontian tidak melepaskan peluang hadir ke Festival Kota Selatan 2025 dan menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan yang menarik dan persembahan artis istimewa.

“Ia juga menonjolkan keunikan warisan budaya tiga negeri khususnya Johor serta berjaya menarik penyertaan masyarakat setempat dan pelancong luar. Festival ini menjadi ruang terbaik untuk memupuk rasa cinta terhadap seni tradisi,” katanya.

Antara pengisian festival adalah Pertandingan Zapin Cilik, Warung Sajian Tradisi, Pertandingan Ghazal, pameran jabatan dan agensi kerajaan, persembahan artis terkenal serta pelbagai aktiviti berteraskan seni dan budaya Johor.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris, Pegawai Daerah Pontian Kamaluddin Jamal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang Hasrunizah Hassan.

-RI

Tinggalkan komen anda