
Laporan/foto: Robani Nabi Ahmad
PASIR MAS, 30 Sep (MalaysiaAktif) – Inisiatif subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) disambut baik masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, selepas kerajaan menetapkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter bagi penerima yang layak.
Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha kerajaan menyalurkan subsidi secara lebih adil, dengan memastikan bantuan hanya diberikan kepada golongan benar-benar memerlukan.

Sulaiman, berpendapat subsidi RON95 lebih adil dan sebagai keperihatinan kerajaan kepada rakyat.
Seorang pekerja swasta, Siti Salwani Zulkifli, 20, berkata harga subsidi baharu amat membantu mengurangkan kos ulang-alik ke tempat kerja.
“Biasanya saya isi RM15 setiap dua hari, tapi sekarang dengan RM10 pun sudah cukup. Ia sangat meringankan kerana saya bergantung sepenuhnya kepada kenderaan sendiri,” katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Bandar Pasir Mas, semalam.
Bagi Sulaiman Mat Daud, 60, pekerja di Caltex Pengkalan Batu, subsidi itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barang.
“Kalau dulu semua dapat subsidi walaupun mampu, sekarang lebih adil sebab disasarkan kepada mereka yang betul-betul perlukan bantuan,” jelasnya.
Menerusi inisiatif BUDI95, rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu sah dan MyKad aktif boleh menikmati harga subsidi sehingga 300 liter sebulan.
Kerajaan turut menjelaskan bahawa kadar RM1.99 seliter akan dikekalkan buat masa ini, namun tertakluk kepada perubahan harga minyak dunia, dengan pemantauan dan penyesuaian dilakukan secara berkala.
-RI





