Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Jalinan Strategik Malaysia–China Diperkukuh

By 2 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Negeri Sembilan)/Dr. Siti Norazura Jamal (UiTM Cawangan Negeri Sembilan)

KUALA PILAH, 2 Okt (MalaysiaAktif) – Delegasi Malaysia di bawah inisiatif Malaysia–Global Industrial and Educational Linkage 2025, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan telah melaksanakan lawatan rasmi ke China bagi memperkukuh kerjasama akademik, penyelidikan dan industri antara kedua-dua negara.

Letter of Intent (LOI) ditandatangani secara rasmi di Zhengzhou E-Commerce Vocational College sebagai simbol permulaan kerjasama strategik.

UiTM Cawangan Negeri Sembilan dalam kenyataan dikeluarkan semalam memaklumkan program anjuran Alliance for Unified Research in Organization, Regulation and Applied Biosciences (AURORA) Collective Team pada 10 hingga 17 September lalu menjadi landasan penting kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama empat organisasi strategik.

MoU berkenaan melibatkan ARA Halal Certification Services Center Limited, Zhengzhou City, Henan; IFEA (M) Sdn. Bhd.; International Future of Education Association (IFEA) dan Taiwan Halal Certification Development Co. Ltd (THCD) yang diketuai Ketua Pegawai Operasinya Abdul Razak Nicholas Hsiu.

“Pemeteraian tersebut dijangka membuka ruang kerjasama dalam penyelidikan bersama, latihan profesional, pertukaran akademik serta pembangunan industri halal di pasaran antarabangsa.

“Delegasi Malaysia juga mengadakan kunjungan rasmi ke Henan University of Animal Husbandry and Economics (HUAHE) serta Zhengzhou E-Commerce Vocational College. Sesi tersebut merangkumi pembentangan akademik oleh wakil Malaysia serta perbincangan kolaborasi penyelidikan dengan pihak institusi tuan rumah,” menurut kenyataan itu.

Delegasi Malaysia bergambar di Zhengzhou E-Commerce Vocational College selepas sesi perbincangan akademik.

Turut bersama dalam program ialah Ketua Pegawai Eksekutif International Future of Education Association (IFEA) Chloe Chong.

Ketua Delegasi Ts. Dr. Aslizah Mohd Aris dalam kenyataan itu berkata program tersebut berjaya mencapai matlamat utama iaitu menghubungkan akademia dan industri Malaysia dengan rakan strategik di China.

“Lawatan ini bukan sekadar membina hubungan akademik, tetapi juga membuka peluang besar kepada penyelidikan bersama dan inovasi industri, khususnya dalam bidang halal bioteknologi dan pembangunan pendidikan global,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda