Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Tilawah Al-Quran Daerah Limbang Dekatkan Masyarakat dengan Nilai Al-Quran

By 2 Oktober 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Juliani Bolhi (Sarawak)

LIMBANG, 2 Okt (MalaysiaAktif) – Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Limbang 1447H/2025M yang berlangsung di Dewan Kampung Bunga Raya bermula 29 hingga 30 September berjaya menghimpunkan lebih 300 orang hadirin daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus memeriahkan acara tahunan yang penuh keberkatan itu.

Majlis malam tadi dirasmikan wakil Residen Bahagian Limbang Aspalela Mohamad Sahmoni dan dalam ucapannya, beliau menyampaikan penghargaan kepada jawatankuasa pengelola atas usaha berterusan menganjurkan tilawah yang saban tahun menjadi wadah penting dalam usaha memartabatkan syiar Islam.

“Majlis Tilawah Al-Quran bukan sekadar pertandingan bacaan kitab suci, bahkan ia merupakan medium untuk mendekatkan masyarakat kepada ajaran Al-Quran dan menghayati nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya,” katanya.

Aspalela yang hadir mewakili Residen Bahagian Limbang menyampaikan ucapan perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Limbang.

Beliau menambah, tema tahun ini iaitu Ummah Maju Makmur bertepatan dengan hasrat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menekankan pembangunan negeri secara menyeluruh meliputi aspek ekonomi, fizikal, kerohanian dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, sejak Sarawak mencapai kemerdekaan pada tahun 1963, pelbagai pencapaian telah direkodkan dan kini berada di landasan tepat untuk terus melakar kemajuan lebih besar pada masa hadapan seiring slogan Sarawak Maju Makmur.

“Tanpa mengira bangsa, agama, bahasa mahupun warna kulit, rakyat di sini telah bersama-sama menikmati hasil pembangunan Sarawak dan sejak dahulu, perpaduan menjadi tunjang kekuatan sehinggakan kita amat bersyukur kerana kerajaan berjaya mengurus kepelbagaian dengan baik sehingga rakyat hidup aman damai,” ujar Aspalela.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang perbezaan atau perselisihan harus ditangani dengan bijaksana agar tidak menyinggung mana-mana pihak.

Tegasnya lagi, usaha provokasi yang boleh menggugat keamanan mesti dijauhi, manakala Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara perlu terus dihormati.

Dalam konteks kehidupan umat Islam, Aspalela menekankan kepentingan berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah dan Surah Al-Hujurat juga mengandungi peta jalan lengkap berkaitan akhlak, etika dan adab terhadap Allah SWT, Rasulullah SAW, sesama umat Islam serta sesama manusia.

“Surah ini penuh dengan nilai luhur yang boleh dijadikan pedoman, termasuklah kesatuan manusia, panduan menghadapi perbezaan pendapat dan membina keharmonian.

“Pada masa sama, perpaduan dan kestabilan yang ada pada rakyat dan ummah adalah penentu kepada pembangunan negara yang maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan sehingga akhirnya kelak mendatangkan rahmat dan keampunan daripada Allah SWT (baldatun toyyibatun wa rabbun ghofur),” tambahnya lagi.

Johan kategori Qari, dimenangi Muhammad Khairul Adib Tugiman (tiga kanan).

Johan Kategori Qari dimenangi Muhammad Khairul Adib Tugiman, Naib Johan disandang Mohd Nasir Kiplin manakala tempat ketiga diraih Hashim Abdul Hashim.

Sementara itu, bagi kategori Qariah, Johan dimenangi Damit Samat, Naib Johan kepada Rogayah Sulong dan tempat ketiga dimenangi Nurul Batrisyia Hani Sabeli.

Turut hadir memeriahkan majlis Pegawai Agama Islam Bahagian merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosely, Wakil Pegawai Daerah Limbang Mohd Sobree Damit, Pemanca Sahat Bagol dan Penghulu Jamil Abu Bakar.

-RJ-

Tinggalkan komen anda