
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 3 Okt (MalaysiaAktif) – Karnival Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) 2025 anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) berjaya menyerlahkan bakat serta kreativiti murid luar bandar melalui pelbagai pertandingan berasaskan STEM di Pendang Lake Resort, di sini.

Antara peserta yang terlibat.
Program dua hari yang berlangsung mulai 1 Oktober dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah itu menghimpunkan seramai 260 murid dari 22 sekolah seluruh negeri untuk bersaing dalam pelbagai acara, antaranya Virtual Maths Class, Fun With Science, Kitar Semula, STEM Action Song, Food & Technology, Word Wizard serta Inovasi STEM.
Sekolah Kebangsaan Tamil Ladang Henrietta muncul johan keseluruhan, diikuti Sekolah Kebangsaan Darulaman di tempat kedua dan Sekolah Kebangsaan Kubur Panjang di tempat ketiga.
Majlis penutup disempurnakan Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, yang turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Guru dan pelajar yang hadir ketika majlis perasmian penutup.
Menurut Pengarah JPN Kedah, Abdul Rahim Mat program itu membuka peluang kepada murid luar bandar berpendapatan rendah untuk mengikuti program ko-akademik berfokuskan STEM.
“Inisiatif ini meningkatkan keyakinan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris selain menambah minat terhadap STEM,” jelasnya, di sini semalam.
Karnival ini sekali gus mengukuhkan peranan STEM sebagai wadah memperkasa generasi muda, membina keyakinan diri dan menyediakan murid luar bandar Kedah untuk bersaing di peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.
-RI





