
Laporan/foto: Nur Syahida binti Che Rus (Yan)
YAN, 3 Okt (MalaysiaAktif) – Berbekalkan pengalaman sebagai pemanggang kopi di sebuah rangkaian jenama terkenal di Singapura, Mohd Hafizal Idris kini merealisasikan impiannya membuka kedai kopi sendiri bersama isterinya, Nor Amalina Ismail di Jeniang, Kedah.

Suasana selesa dan dekorasi yang menarik menjadi daya penarik pelanggan.
Kedai kopi hasil ilham Hafizal, 40, itu menjadi tumpuan penduduk sekitar Kuala Muda dengan menu utama kopi ‘peng’ yang pernah tular di media sosial, ditawarkan pada harga serendah RM4 menggunakan biji kopi berkualiti tinggi dari Brazil.
Bagi menambah kelainan, beliau turut bekerjasama dengan penduduk tempatan dalam menyediakan kek istimewa seperti blueberry cheese cake, red velvet cheese cake, tiramisu, batik caramel indulgence dan chocolate cheese indulgence yang melengkapkan pengalaman pelanggan.
“Bagi saya, kedai ini bukan sekadar perniagaan tetapi ruang untuk komuniti berkumpul. Saya juga tidak menganggap diri sebagai bos, sebaliknya lebih selesa bekerja secara berpasukan dengan staf,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Salah seorang pelanggan melihat pilihan menu yang disediakan di kedai milik Mohd Hafizal.
Suasana mesra pelanggan serta pendekatan kekeluargaan menjadikan kedai kopi itu destinasi pilihan untuk bersantai dan bertemu rakan taulan.
Hafizal turut berharap kejayaannya mampu memberi inspirasi kepada anak muda tempatan untuk berani menceburi bidang keusahawanan dengan idea kreatif, sekali gus menjadikan Jeniang sebagai lokasi baharu yang berkembang dalam industri makanan dan minuman.
Kejayaan Hafizal membuktikan bahawa pengalaman dan minat yang digarap dengan usaha gigih mampu mencetuskan peluang perniagaan baharu yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
-RI





