
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/Mohammad Ezwandi (Perak)
TELUK INTAN, 4 Okt (MalaysiaAktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di seluruh negara sedang giat melaksanakan pelbagai kempen perhubungan awam dan program kesedaran bagi mencegah penularan penyakit human immunodeficiency virus (HIV) dan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) dalam kalangan penduduk di Malaysia.

Penglibatan ahli Komuniti MADANI dan JPKK begitu penting dalam menjadi ejen perubahan kesihatan awam.
Pegawai Perubatan Unit Kawalan Penyakit Berjangkit PKD Hilir Perak, Dr. Marliana Mohammad, berkata KKM dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan pelbagai kempen serta menggerakkan semua sumber dan saluran bagi meningkatkan pemahaman masyarakat tentang virus HIV dan AIDS serta mengurangkan stigma terhadap pesakit.
“Kempen-kempen perhubungan awam yang dilaksanakan di kawasan tumpuan umum selain program khidmat masyarakat yang lebih bersasar sentiasa terbuka untuk penglibatan komuniti setempat bagi mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan bahaya HIV dan AIDS.
Marliana berkata analogi penularan HIV adalah seperti anai-anai yang memakan struktur kayu di rumah yang merujuk kepada sistem pertahanan tubuh badan.
“Apabila HIV berjaya merobohkan sistem pertahanan ini, pada masa itulah seseorang itu akan mengalami sindrom AIDS.
“Pencegahan dan rawatan awal adalah sangat penting untuk mengawal virus HIV dan menghalang perkembangan AIDS,” katanya ketika ditemu bual pada sesi siaran langsung Influencer@JAPEN Moh Kome Siri 6/12 di Dewan Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak, di sini kelmarin.

Kumpulan pelajar UUM bagi Kursus Perhubungan Awam (SCCAJ2073) mengambil kesempatan bergambar dengan panel jemputan.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Hilir Perak itu dijayakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah dan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi Kursus Perhubungan Awam (SCCAJ2073).
-RI





